Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
« October 2006 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Sasterawan
Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia!
Friday, October 20, 2006
Apa Khabar Orang Komunis?

Amir tidak serik dengan komunis!

Oleh FATHI ARIS OMAR

Tidak serik dengan pengharaman filem Lelaki Komunis Terakhir pada Mei lalu, Amir Muhammad kini sedang menyiapkan sequel filem tersebut yang memberi fokus pada kehidupan bekas gerila bersenjata Melayu dalam Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM).

Filem dokumentari kedua ini Apa Khabar Orang Kampung?, mengambil sempena lagu popular Sudirman Hj Arshad, merakam kehidupan sehari-hari kampung bekas gerila PKM, tidak jauh dari Sukhirin, di selatan Thailand.

Pengarah 34 tahun ini memberitahu mStar Online, beliau bersama lima krew filem menghabiskan masa kira-kira 10 hari pada Ogos lepas untuk merakam rentak kehidupan sekarang, selain wawancara dengan semua bekas gerila yang dilahirkan di Malaysia.

Perkampungan Damai 12, atau dalam bahasa Siam ‘Ban Chulabhorn Pattana 12’, dibangunkan selepas perjanjian tiga pihak antara PKM, kerajaan-kerajaan Thailand dan Malaysia dikatakan pangkalan asal Rejimen ke-10, tidak jauh dari sempadan Narathiwat-Kelantan.

Rejimen ini pernah mempunyai kekuatan 1,000 anggota dan di sini juga terdapat terowong besar bawah tanah yang boleh memuatkan kira-kira 300 gerila. Bagaimanapun terowong ala Viet Cong ini sudah tidak digunakan lagi, dua daripada tiga pintu masuk utamanya sudah roboh.

Daripada lebih 140 keluarga sekarang, tidak sampai 20 orang dilahirkan di Malaysia (Malaya, waktu itu). Daripada jumlah itu, 15 diwawancara untuk filem terbaru Amir ini. Mereka sekarang berusia antara penghujung 70-an hingga awal 80-an. Antaranya wawancara tiga jam dengan gerila berusia 86 tahun yang dikenali Pak Majid (nama asal Idris Yusof).

“Katanya, tidak pernah ada orang yang mahu bertanya tentang pengalamannya. Jadi dengan kami, dia bercakap dan terus bercakap selama tiga jam. Ceritanya sangat menarik, tidak ada yang membosankan,” kata Amir.

Sebelum menyertai PKM, Pak Majid pernah berkhidmat untuk pasukan tentera Inggeris dan juga Jepun.

Kisahnya ini tidak jauh bezanya dengan latar pengalaman penggerak-penggerak nasionalis Melayu waktu itu, termasuk seorang kuat Rejimen ke-10, Abu Samah Mohamad Kassim – beliau berkhidmat dengan Jepun sebelum menyertai Umno, selain pernah juga bersama Kesatuan Melayu Muda, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Angkatan Pemuda Insaf.

Selain wawancara, Amir juga ditunjukkan bahan-bahan propaganda, termasuk siaran radio PKM, filem dan kertas sebaran gerakan ini.

Ketua rejimen ini Rashid Maidin, yang tinggal di Yala selepas perdamaian, bagaimanapun tidak ditemubual kerana tidak berada di perkampungan tersebut. Rashid meninggal dunia awal September lalu pada usia 89 tahun.

Amir berkata, sequel Lelaki Komunis Terakhir ini memang sudah dirancang lebih awal dan bukan dibikin sebagai reaksi terhadap beberapa kritikan terhadap filem itu. Lelaki Komunis Terakhir diharamkan selepas bantahan beberapa pihak dan menimbulkan kontroversi hampir sebulan sehingga menarik minat penggiat filem dan ahli politik.

Akibat larangan tersebut, filem itu gagal ditayangkan secara komersial walau pihak pawagam bersedia memberikan ruang.

Amir kini berharap Apa Khabar Orang Kampung? akan diluluskan dan dapat ditayangkan secara komersil awal tahun depan.

Menurutnya, jika tidak diharamkan, filemnya itu menjadi dokumentari pertama yang ditayangkan secara komersial.

Walau sekarang masih di peringkat suntingan, Apa Khabar Orang Kampung dijadual ditayangkan di festival filem Fajar di Iran pada Januari depan.

Ditanya tentang kenyakinannya agar usaha terbarunya ini akan diluluskan  Lembaga Penapisan Filem, Amir berkata: “kalau Remp-it boleh lepas, kenapa filem saya tidak?”

“Tidak ada adegan seks, atau babak keganasan. Hanya babak orang-orang tua bercakap.”

Menurutnya, sewaktu diwawancara, pemimpin dan gerila Rejimen ke-10 bersedia mendedahkan suka-duka perjuangan mereka selepas 17 tahun perjanjian damai. Bagaimanapun isu-isu ketenteraan dan strategi tidak disampaikan. 

Dalam wawancara tersebut, jelas Amir lagi, mereka memberitahu selepas kegagalan perjanjian Baling 1955, anggota-anggota PKM diberi dua pilihan sama ada meneruskan perjuangan atau menyertai kemerdekaan baru Malaya tetapi semua anggota Rejimen ke-10 mahu kekal bersama.

“Ini membayangkan kesetiaan mereka pada kumpulan ini dan kesetiaan itu masih dilihat dalam banyak kerjasama dan gotong-royong di kampung ini,” katanya.

Bagaimanapun perkampungan itu hanya didiami oleh kumpulan bekas gerila Melayu, sementara gerila-gerila berketurunan Cina berada di kampung-kampung perdamaian lain.

Setiap kumpulan tinggal di kampung masing-masing dan mereka tidak pernah melawat antara satu sama lain selepas perjanjian damai dimeterai.

Ini jelas melambangkan “perpecahan” di kalangan anggota PKM pada garis perkauman.

“Agak aneh,” kata Amir. “Tidak sepatutnya terjadi begitu. Nampaknya mereka juga terkesan dasar ‘pecah dan perintah’ Inggeris. Mereka dicatur mengikut percaturan kaum.”
 
Sebagai anak kelahiran
Kuala Lumpur, kata Amir, tinggal lebih seminggu di perkampungan ini memberi kelainan kepada rutin hariannya. Di sana, katanya, hanya terdapat sebuah warung kecil yang ditutup pada jam 9 malam. Sementara bekalan air bersih dan elektrik terputus dua tiga kali sepanjang dia di sana.

Dalam wawancara tersebut, mereka menceritakan keperitan hidup selepas era perjanjian damai. Mereka mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran aman tersebut.

Walau diberikan setiap orang enam ekar tetapi usaha pertanian yang cuba dibangunkan sering mengalami kegagalan.

“Mereka cuba tanam kelapa sawit tetapi tidak berjaya. Musim ini buah-buah pula tidak menjadi, jadi waktu saya di sana mereka ada masalah kewangan,” cerita Amir. “Ramai yang tinggal, berhijrah di luar, mencari pekerjaan di luar.”

Jadi, majoriti penduduk di sana berusia 60 tahun ke atas dan bawah 15 tahun. Generasi muda mereka tinggal dan bekerja di bandar-bandar sekitarnya.

“Anak-anak mereka yang diberikan sebagai anak angkat kepada orang luar sewaktu konflik bersenjata terus tinggal di luar perkampungan ini.”

Tahun ini pula kerajaan Thailand memberikan mereka kad pengenalan, mengesahkan mereka sebagai warga negara tersebut. “Ada di antara mereka yang balik ke kampung asal di Semenanjung tetapi mereka tetap ingin tinggal di selatan Thailand,” kata Amir lagi.

Susulan konflik di selatan Thailand beberapa tahun kebelakangan, anggota-anggota PKM turut dituduh terbabit dengan kelompok pemisah tetapi mereka menafikannya. Menurut Amir, pihak keselamatan Thailand juga percaya mereka tidak terlibat.

Amir yakin Apa Khabar Orang Kampung? 'lebih menarik' daripada filem awalnya.

Lelaki Komunis Terakhir banyak fakta, membosankan,” katanya.

Sumber: http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_504d37b6-c0a85062-1eafe130-2e36cc63


Posted by uthayasb at 08:00 JST
Post Comment | Permalink

View Latest Entries