Berikut laporan yang saya ambil sepenuhnya daripada akhbar Mingguan Malaysia (15 Oktober 2006):
KUALA LUMPUR 14 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, individu yang tidak bersifat perkauman dan ingin melihat perpaduan kaum adalah simbol rakyat Malaysia sebenar.
Sambil menafikan wujudnya sikap prejudis antara kaum di negara ini, beliau berkata, apa yang ketara ialah rakyat kini hidup aman dan bersatu padu.
Menurutnya, walaupun wujud perbezaan antara kaum kerana kepelbagaian kebudayaan, namun sikap prejudis itu tidak wujud.
“Apabila terdapat kepelbagaian kebudayaan, maka wujudlah perbezaan antara kaum, namun semua rakyat meraikan perbezaan itu.
“Bagaimanapun, apa yang kita lihat hari ini ialah rakyat bersatu padu, hidup aman dan bersikap menghormati sesuatu kaum yang bukan daripada etnik atau kepercayaan agama tetapi ingin bersahabat dan melakukan sesuatu bersama-sama.
“Yang paling penting ialah semua kaum di Malaysia cintakan negara ini, itulah dikatakan rakyat Malaysia,” katanya ketika diwawancara dalam program CNN Talk Asia yang disiarkan oleh saluran Astro 90, hari ini.
Abdullah ditanya sama ada beliau memandang mudah situasi perbezaan yang wujud antara kaum dan kajian menyatakan bahawa pelbagai kaum di Malaysia masih mempercayai stereotaip dikenakan kepada kaum masing-masing.
Perdana Menteri turut mengulas mengenai kenyataan pedih oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew baru-baru ini bahawa orang Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.
Menurut Abdullah, kedudukan dan kehidupan kaum Cina dianggap lebih baik berbanding dengan kaum Melayu kerana banyak peluang diberi untuk berjaya.
Beliau menolak sama sekali dakwaan Kuan Yew sambil menyifatkannya sebagai tidak wajar kerana membangkitkan isu itu boleh membawa rasa tidak senang kepada semua orang.
Ini kerana, katanya, mungkin ada segelintir masyarakat akan berfikir bahawa kenyataan Kuan Yew mempunyai unsur-unsur ke arah campur tangan dengan apa yang dilakukan oleh Malaysia terhadap kehidupan kaum Cina.
“Sebenarnya, kaum Cina di negara ini diberi banyak peluang untuk berjaya, kita membenarkan kaum Cina tinggal di sini, kita benarkan anak mereka belajar di sekolah Cina, sekolah vokasional dan mempelajari bahasa Mandarin.
“Kita juga membenarkan mereka mengamalkan budaya dan perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja disambut oleh kaum Cina malah turut diraikan bersama dengan kaum Melayu dan India.
“Kami saling hormat-menghormati sesama kaum dan inilah sebenarnya Malaysia. Inilah kehidupan sebenarnya di negara ini,” katanya.
Kuan Yew membuat kenyataan itu pada forum sempena mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di Singapura baru-baru ini.
Kuan Yew yang merupakan pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) dilaporkan berkata, sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk oleh cara layanan mereka terhadap etnik Cina minoriti di negara mereka sendiri.
Menteri Mentor itu mendakwa Malaysia dan Indonesia mempunyai masalah dengan kaum Cina masing-masing kerana mereka berjaya dan bekerja kuat dan justeru secara sistematik mereka dipinggirkan.
Rentetan kenyataan itu, Kuan Yew telah meminta maaf kerana kenyataannya menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.
Sehubungan itu, Abdullah mengingatkan bekas Perdana Menteri Singapura itu supaya tidak mengulangi kenyataannya yang boleh menghasut rakyat Malaysia.
Pada wawancara itu, Abdullah turut ditanya apakah yang diharap dalam surat penjelasan Kuan Yew.
Menurut Perdana Menteri, beliau telah mengambil maklum mengenai apa yang bekas Perdana Menteri Singapura itu perkatakan dalam suratnya.
“Walau apa juga alasan beliau berikan, saya berharap supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan seumpama itu pada masa akan datang,” katanya.
Tegasnya, kenyataan Kuan Yew pada 15 September itu tidak sepatutnya diutarakan.