Acara membaca naskhah di khalayak bukan sesuatu yang baru bagi Kavyan; acara demikian dijadikan acara bulanan sejak kejayaan Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit pada 2003 serta tercatat dalam The Malaysia Book of Records.
Apabila pihak Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (PDM DBP) menghubungi untuk mengundang dua wakil Kavyan mengambil bahagian dalam acara Baca Naskhah Sejarah Melayu, undangan itu diterima dengan hati yang terbuka. Apatah, acara itu serasi dan selari dengan objektif Kavyan dalam membudayakan baca cerpen/novel, memasyarakatkan sastera serta mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
Baca Naskhah Sejarah Melayu dianjurkan oleh DBP, Koperasi DBP dan Kedutaan Sepanyol sempena “Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia” pada 25-28 April 2006 di Galeri Ilmu Koperasi DBP Kuala Lumpur.
Mengikut jadual, tujuh pembaca mengambil bahagian setiap hari. Rupa-rupanya, seorang pembaca dipilih/dinilai sebagai pembaca terbaik setiap hari. Perkara ini tidak diketahui oleh saya dan Ganesan yang menjadi wakil Kavyan; kerana tujuan penyertaan kami adalah untuk memberi sokongan moral terhadap acara berkenaan.
Turut sama hadir adalah lima pelajar Kolej SEGi, iaitu Faiz, Gayathri Nair, Priadhashini, Christine dan Teoh Zhi Guan. Saya gembira atas minat dan sokongan moral yang mereka tunjukkan. Kami pergi sebagai sekumpulan rakan menaiki dua kereta (kereta saya dan kereta Faiz).
Acara berjalan lancar dengan pembacaan naskhah oleh enam peserta, termasuk dua wakil Kedutaan Sepanyol di Kuala Lumpur. Tentu sekali Mohd Jusoh Majid dari Bahagian Kesusasteraan Bandingan dan Norraya Mohd Yussof dari Bahagian Majalah membuat persembahan yang cukup membanggakan dengan gaya tersendiri. Ganesan juga memperlihatkan kebolehannya secara berkesan.
Pada akhir acara, tanpa diduga, saya diumumkan sebagai pembaca terbaik bagi hari ini. Saya memang berterima kasih, bangga dan bersyukur atas pengadilan itu. Namun, tetap saya nyatakan bahawa penyertaan saya bukan untuk muncul juara atau pembaca terbaik. Apa yang lebih penting adalah sumbangan saya (sebagai wakil Kavyan) dalam sama-sama memasyarakatkan sastera, membudayakan baca naskhah dan mendaulatkan Bahasa Malaysia.
Esok, pukul 3:00 petang, saya diundang hadir sekali lagi membaca naskhah Sejarah Melayu bagi memilih juara keseluruhan. Sekali lagi, saya bersetuju untuk menerima undangan itu – bukan untuk muncul juara tetapi untuk memberi sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh DBP dalam memartabatkan sastera dan bahasa kebangsaan. Apatah lagi, apa yang dilakukan melalui Baca Naskhah Sejarah Melayu tidak berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Kavyan sejak 2003 melalui siri baca cerpen dan novel.
Sama-sama kita martabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.
Posted by uthayasb
at 21:41 JST