Pada 26 Februari 2006 (Ahad), Kavyan dengan kerjasama Pusat Komuniti ERA, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan Kelab Seni & Sastera Kolej SEGi Subang Jaya telah menjayakan acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak di SJK (T) Alor Gajah, Melaka.
Setelah menjemput Vicky dari rumah Rajan di Klang, saya ke stesen Komuter Shah Alam. Namun, sebelum sampai di sana, wartawan Dewan Pelajar, Ariffin Yusof memaklumkan bahawa Komuter hanya akan sampai sehingga Subang Jaya kerana banjir di Batu Tiga.
Maka, saya menghubungi Arween untuk memaklumkan perkara itu kerana dia juga datang menaiki Komuter dari Sentul.
Akhirnya kami semua bertemu di stesen Komuter Subang Jaya. Dari sana, kami ke Kolej SEGi di mana Izzed sudah sedia menunggu. Sementara itu, Sara, Guru dan Shankar dari ERA pula sudah dalam perjalanan ke Melaka.
Kami tiba di SJK (T) Alor Gajah tepat 9:20 pagi dan disambut mesra oleh guru besar, Encik G. Kannan, Pengerusi PIBG, Encik R.S. Maniam serta beberapa guru. Sambutan ini pastinya menaikkan semangat kami kerana ada juga waktunya kami “sendirian” mengendalikan program di sekolah tanpa “kehadiran” guru besar, wakil PIBG dan guru-guru.
Program bermula tepat pukul 9:30 pagi seperti yang dijadualkan. Memang menjadi tradisi Kavyan untuk akur pada jadual; kalau tidak tahu akur pada jadual yang ditetapkan, apa gunanya menyusun jadual?
Sambutan daripada murid-murid juga cukup menggalakkan. Sejumlah 47 peserta menyertai program ini. Walaupun pada mulanya mereka agak pemalu dan takut untuk bercakap, keadaan berubah sedikit demi sedikit.
Acara turut diserikan dengan bacaan cerpen dari majalah Dewan Pelajar keluaran Disember 2005 serta nyanyian lagu “Rasa Sayang”. Apa yang menarik, beberapa guru turut mengambil bahagian. Malah, guru besar dan wakil PIBG mengikuti aktiviti Apresiasi Sastera Kanak-kanak sepenuhnya.
Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Sdr Ariffin, Sdr Sara, Encik G. Kannan, Encik R. S. Maniam, Sdr Arween, Sdr Izzed serta enam murid sekolah berkenaan.
Secara keseluruhan, acara kali ini cukup memuaskan. Apatah lagi bagi Arween dan Izzed yang menyertai Apresiasi Sastera Kanak-kanak bagi kali pertama. Pihak Kavyan dan ERA juga berharap akan dapat datang semula ke daerah Alor Gajah, Melaka untuk menjayakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya selaras dengan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.
Maklumat aktiviti Kavyan boleh dirujuk di laman Aktiviti Kavyan
Posted by uthayasb
at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:32 WST