Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
« February 2006 »
S M T W T F S
1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Sasterawan
Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia!
Monday, February 27, 2006
Baca Cerpen Dewan Pelajar 2

Siapa kata pelajar instutusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kurang meminati Bahasa Malaysia? Semuanya berbalik pada kemampuan dan pendekatan yang digunakan oleh tenaga pengajar.

Bagi saya, mengendalikan acara “Baca Cerpen” dengan melibatkan pelajar kolej swasta bukan sesuatu yang baru. Kavyan telah melakukannya sejak tahun 2003. Semuanya boleh dibaca di laman Kavyan.

Aktiviti terbaru seumpama itu berlangsung pada 27 Februari 2006 (Isnin) di Dewan Teater, Kolej SEGi, Subang Jaya. Penglibatan para pelajar kelas LAN1001-Bahasa Malaysia adalah cukup menggalakkan. Saya berpandangan bahawa mereka tidak menjayakan acara ini sekadar untuk mendapat markah. Sebaliknya, untuk membuktikan semampuan sebenar yang mereka miliki.



Syabas, tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar terbabit! Juga kepada Cik Mages yang menawarkan diri menjadi pengacara majlis pada acara itu.

Para peserta telah membaca secara berkumpulan sebanyak tujuh cerita kanak-kanak yang tersiar dalam majalah Dewan Pelajar. Tidak setakat itu, mereka juga berjaya mengolah cerpen-cerpen itu menjadi drama yang dirakam menggunakan kamera digital.

Selesai acara membaca cerpen di pentas, hadirin disajikan dengan tayangan tujuh drama berkenaan. Masing-masing menunjukkan kemampuan dan kreativiti dalam menjayakan drama berkenaan.

Tajuk cerpen dan drama terbabit adalah “Sahabat Baru”, “Hadiah Impian”, “Horangi!Horangi!”, “Gelang Kaki Kannagi”, “Putandu Valtugal”, “Musang dengan Serigala” dan “Muthu dan Ratna”.

Drama yang paling kelakar dan membuatkan hadirin ketawa terbahak-bahak adalah “Muthu dan Ratna”. Versi asalnya adalah terlalu “berani” sehingga saya terpaksa melakukan penyuntingan yang cukup banyak. Malah, drama itu terpaksa dilabelkan “Drama ini kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak”!

Turut hadir pada majlis ini ialah Encik Ariffin Yassin selaku wartawan Dewan Pelajar, wartawan dan juru kamera akhbar The Star serta Encik Saravanan, Cik Theresa, Cik Nanthini, Encik Madhavan, Sdr Guru dan Sdr Shankar mewakili Pusat Komuniti ERA. Para pelajar yang mengambil bahagian telah turut mengundang rakan-rakan dan ahli keluarga masing-masing ke acara ini.

Seperti yang saya nyatakan kepada para pelajar dan Encik Ariffin, apa yang saya pentingkan adalah pengalaman sebenar yang diperoleh oleh para pelajar. Apa yang penting bukanlah markah yang diberikan kepada mereka; sebaliknya pengalaman sebenar yang mereka timba melalui penyertaan dalam acara seumpama ini.

Suatu hari nanti, para pelajar terbabit boleh menyatakan dengan gembira bahawa mereka juga pernah menjayakan sebuah acara baca cerpen dan drama di kolej!

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:31 WST
Post Comment | Permalink
Sunday, February 26, 2006
Apresiasi Sastera Kanak-kanak

Pada 26 Februari 2006 (Ahad), Kavyan dengan kerjasama Pusat Komuniti ERA, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan Kelab Seni & Sastera Kolej SEGi Subang Jaya telah menjayakan acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak di SJK (T) Alor Gajah, Melaka.

Setelah menjemput Vicky dari rumah Rajan di Klang, saya ke stesen Komuter Shah Alam. Namun, sebelum sampai di sana, wartawan Dewan Pelajar, Ariffin Yusof memaklumkan bahawa Komuter hanya akan sampai sehingga Subang Jaya kerana banjir di Batu Tiga.

Maka, saya menghubungi Arween untuk memaklumkan perkara itu kerana dia juga datang menaiki Komuter dari Sentul.

Akhirnya kami semua bertemu di stesen Komuter Subang Jaya. Dari sana, kami ke Kolej SEGi di mana Izzed sudah sedia menunggu. Sementara itu, Sara, Guru dan Shankar dari ERA pula sudah dalam perjalanan ke Melaka.

Kami tiba di SJK (T) Alor Gajah tepat 9:20 pagi dan disambut mesra oleh guru besar, Encik G. Kannan, Pengerusi PIBG, Encik R.S. Maniam serta beberapa guru. Sambutan ini pastinya menaikkan semangat kami kerana ada juga waktunya kami “sendirian” mengendalikan program di sekolah tanpa “kehadiran” guru besar, wakil PIBG dan guru-guru.

Program bermula tepat pukul 9:30 pagi seperti yang dijadualkan. Memang menjadi tradisi Kavyan untuk akur pada jadual; kalau tidak tahu akur pada jadual yang ditetapkan, apa gunanya menyusun jadual?

Sambutan daripada murid-murid juga cukup menggalakkan. Sejumlah 47 peserta menyertai program ini. Walaupun pada mulanya mereka agak pemalu dan takut untuk bercakap, keadaan berubah sedikit demi sedikit.

Acara turut diserikan dengan bacaan cerpen dari majalah Dewan Pelajar keluaran Disember 2005 serta nyanyian lagu “Rasa Sayang”. Apa yang menarik, beberapa guru turut mengambil bahagian. Malah, guru besar dan wakil PIBG mengikuti aktiviti Apresiasi Sastera Kanak-kanak sepenuhnya.

Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Sdr Ariffin, Sdr Sara, Encik G. Kannan, Encik R. S. Maniam, Sdr Arween, Sdr Izzed serta enam murid sekolah berkenaan.



Secara keseluruhan, acara kali ini cukup memuaskan. Apatah lagi bagi Arween dan Izzed yang menyertai Apresiasi Sastera Kanak-kanak bagi kali pertama. Pihak Kavyan dan ERA juga berharap akan dapat datang semula ke daerah Alor Gajah, Melaka untuk menjayakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya selaras dengan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.

Maklumat aktiviti Kavyan boleh dirujuk di laman Aktiviti Kavyan

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:32 WST
Post Comment | Permalink
Saturday, February 25, 2006
Memulakan Blog
Selamat sejahtera!

Setelah sekian lama membaca blog yang dihasilkan oleh rakan-rakan sasterawan, akhirnya saya memutuskan untuk memulakan blog sendiri.

Apatah lagi, bagi majalah Pelita Bahasa (Mac 2006), saya menulis makalah "Memanfaatkan Kemudahan Siber".

Blog ini khusus membicarakan perkembangan diri saya sebagai seorang sasterawan, penggiat sastera, pejuang Bahasa Malaysia, pensyarah kolej serta peminat buku dan filem.

Akan dipaparkan juga pelbagai aktiviti anjuran Pertubuhan Sasterawan Kavyan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Blog ini akan berperanan sebagai tambahan pada laman web Kavyan dan Uthaya Sankar SB.

Semoga blog ini membawa manfaat atau sekurang-kurangnya membantu ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di ruang siber.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Posted by uthayasb at 15:56 WST
Updated: Tuesday, April 18, 2006 08:38 JST
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older