Baca Buku di Panjara Kajang
Penjara pertama di Malaysia masih ada di Taiping, Perak. Walaupun saya anak kelahiran Taiping, saya belum pernah masuk melawat penjara itu. Begitu juga dengan Penjara Pudu di Kuala Lumpur.
Hari ini, saya dan Ayya ke
Penjara Kajang untuk bertemu
Lee Ah Seng yang merupakan “banduan akhir”; menunggu hukuman gantung dikenakan ke atasnya – jika rayuan terakhir tidak lama lagi tetap gagal.
Ah Seng saya kenali sekitar 15 tahun lalu apabila dia dan rakannya, Sugu menjadi pelajar bagi subjek Bahasa Malaysia sewaktu saya masih di Aulong Lama, Taiping. Pada kali pertama bertemu dengannya, saya fikir dia berlawak kerana memperkenalkan dirinya sebagai “Ah Seng” sedangkan wajahnya ternyata India. Kemudian, barulah saya tahu bahawa dia anak angkat dalam keluarga kaum Cina.
Selepas sekitar sepuluh bulan, saya berpindah ke Klang dan kami terputus hubungan. Hanya pada 28 Januari 2006, Sugu yang kini bekerja di Singapura menghubungi saya melalui telefon.
Katanya, Ah Seng kini berada di Penjara Kajang. Lapan tahun lalu (semasa umurnya 20 tahun), Ah Seng diberkas kerana terlibat dalam kes bunuh. Setelah lima tahun ditahan reman, dia dijatuhi hukuman gantung dan sejak tiga tahun lalu, Ah Seng berada di Penjara Kajang. Sugu sendiri hanya mengetahui perkara ini apabila ke rumah ibu Ah Seng semasa cuti Deepavali tahun lalu.
Rupa-rupanya, Ah Seng telah meminta Sugu agar menghubungi saya. Begini kisahnya. … Semasa di penjara, Ah Seng banyak membaca akhbar Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Dia terbaca beberapa tulisan oleh dan mengenai saya; khususnya dalam akhbar
New Straits Times,
Utusan Malaysia dan
Kosmo.
Sugu pula telah melayari laman web dan menjumpai nombor telefon bimbit saya. Sebaik sahaja dimaklumkan tentang keadaan Ah Seng, saya berjanji akan pergi bertemu dengannya apabila ada peluang.
Maka, hari ini, saya dan anak saya telah ke sana. Kami membawa sebuah kamus dwibahasa terbitan DBP dan novel
ADAM karya Ramlee Awang Murshid yang dipesan oleh Ah Seng. Juga novel
Panchayat kerana Ah Seng mahu membaca apa yang ditulis oleh “cikgu”nya.
(Ah Seng serta sekumpulan remaja/kanak-kanak yang pernah menjadi pelajar saya sekitar tahun 1989-91 merupakan satu-satunya kelompok yang memanggil saya dengan gelaran “cikgu”. Apa yang menarik adalah bahawa ahli keluarga pelajar berkenaan juga masih memanggil saya “cikgu” sehingga kini.)
Imej Ah Seng yang ada dalam fikiran saya pastinya amat berbeza dengan penampilan dirinya kini. Maklumlah, waktu itu umurnya 13 tahun dan kini umurnya 28 tahun. Memang saya tidak cam wajahnya sehingga saya terpaksa mengangkat gagang telefon dan bertanya, “Ah Seng?” semasa bertemu dengannya di bilik khas.
Banyak juga perkara yang kami bualkan. Apa yang menarik, topik mengenai buku dan minat membaca ketara kami bualkan. Menurut Ah Seng, dia berhenti sekolah semasa di Tingkatan Dua. Dia tidak berminat belajar atau membaca.
Namun, kehidupan di penjara telah mengubah sikapnya. Selama lima tahun di penjara Johor, dia hanya membaca akhbar dan majalah hiburan yang terdapat di sana.
Di Penjara Kajang, dia mula bosan membaca komik dan majalah hiburan. Dia mahu membaca sesuatu yang menambah ilmu. Maka, sekali itu, apabila mak ciknya dari Ampang datang melawat, dia meminta dibelikan novel Bahasa Malaysia.
Dua buah novel telah diberikan kepada Ah Seng oleh mak ciknya di mana salah satu adalah novel karya Ramlee Awang Murshid. Ah Seng terus suka akan novel triller berkenaan dan mula meminta supaya dibelikan lebih banyak judul oleh pengarang berkenaan.
Malah, kini, kata Ah Seng, rakan-rakan di penjara juga sudah mula semakin berminat membaca novel Bahasa Malaysia. Bagi saya, ini suatu perkembangan yang membanggakan. Apatah lagi apabila mereka mampu pula memilih buku/novel yang bermutu untuk dijadikan bahan bacaan.
Semasa pertemuan itu, Ah seng juga membawa sebuah buku nota di mana dia telah membuat pelbagai catatan serta cetusan fikiran. Mengapa tidak ditulis secara kemas supaya boleh saya salurkan kepada pihak penerbitan?
Untuk itu, Ah Seng perlu membuat permohanan bertulis kepada pegawai terbabit. Sekiranya dibenarkan, bolehlah Ah Seng mengirimkan saja serta tulisannya kepada saya agar dapat saya baca, nilai, sunting dan salurkan kepada media yang sesuai.
Kami bertemu dan berbual-bual sekitar 45 minit. Ayya dan Ah Seng tidak lama berbual kerana masing-masing tidak tahu apa yang mahu dibualkan. Maka, saya dan Ah Seng yang ketara berbual hal itu dan hal ini.
Pada akhir pertemuan, setelah membayar wang bagi sejumlah barangan yang dibeli oleh Ah Seng (pelawat tidak boleh membawa barangan untuk banduan tetapi boleh dibayar supaya barangan disediakan oleh pihak penjara), saya berjanji akan datang bertemu lagi dengannya pada masa hadapan. Saya akan membawakan lebih banyak bahan bacaan berupa cerpen dan novel Bahasa Malaysia untuk santapan minda Ah Seng.
Saya juga berharap akan berpeluang membaca bahan tulisan Lee Ah Seng pada masa hadapan.
Posted by uthayasb
at 00:01 JST