Gelas bukan sebarang gelas,
Gelas dari intan berkaca;
Ulas bukan sebarang ulas,
Niat pupuk minat membaca.
Sudah setahun sebulan saya menjadi pengulas akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM, TV1). Hubungan saya dengan RTM bukan baru kerana saya pernah menjadi penyunting berita TV (Bahasa Malaysia) dari 1996 hingga 2002.
Maka, apabila saya ditawarkan menjadi pengulas akhbar SPM mulai Februari 2005, saya menerima peluang itu dengan gembira. Saya juga terharu dengan kepercayaan yang diletakkan pada kemampuan serta penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki. Maklumlah, mengulas akhbar tidak sama dengan membaca berita.
Pengalaman saya mengulas akhbar selama lebih setahun cukup menarik. Banyak yang saya pelajari. Bagi saya, setipa hari, ada sahaja perkara baru yang dipelajari. Sekurang-kurangnya, peluang mengetahui perkembangan terbaru melalui akhbar. Saya meneliti akhbar bukan sekadar sebagai membereskan tugas di RTM tetapi kerana minat membaca dan ingin mengetahui perkembangan semasa.
Mulai Januari 2006, saya menjadi pengulas “veteran” kerana dua lagi pengulas merupakan orang baru. Saya mendapat peluang memberi sedikit tunjuk-ajar. Bukan kerana saya pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan teknik bekerja. Terima kasih kepada Nisha dan Gina yang sedia menerima teguran dan komen yang saya beri; secara lisan atau melalui SMS. Terima kasih juga kepada semua anggota krew SPM yang selalu bersedia membimbing dan memberi teguran.
Sebagai pengulas akhbar, saya berpeluang mengemukakan ulasan dan komen terhadap berita-berita yang tersiar di akhbar. Untuk itu, saya perlu berpegang pada etika, peraturan, polisi dan bermacam-macam lagi. Dan tentunya perlu ada ilmu bantu dan maklumat hasil daripada pembacaan.
Selain itu, saya juga cuba menampilkan gaya persembahan sendiri dengan membaca pantun. Hasilnya cukup menggembirakan. Ada juga penonton dan rakan-rakan yang mengirim pantun. Mana yang sesuai, saya bacakan. Itu antara sumbangan saya bagi memartabatkan sastera tradisional dan Bahasa Malaysia.
Kemunculan di kaca televisyen juga saya gunakan sebagai peluang untuk mempromosi pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Apa salahnya kita tolong promosi aktiviti yang memang membawa manfaat kepada orang ramai.
Sejak muncul sebagai pengulas akhbar, lebih ramai mengenali saya. Malah, ada masanya saya merasakan bahawa lebih ramai mengenali saya sebagai “pengulas akhbar” daripada sebagai “sasterawan” atau “pensyarah”!
Namun begitu, tidak menjadi masalah. Sebagai sasterawan, biarlah karya saya dikenali pembaca. Sebagai pensyarah, biarlah ilmu yang disampaikan sampai kepada pelajar. Sebagai pengulas akhbar, biarlah khalayak umum dapat menyaksikan sendiri bahawa sesungguhnya saya pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia!
Posted by uthayasb
at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 13:21 JST