Di Kolej SEGi Subang Jaya, saya diberi kepercayaan untuk menjadi penyelaras bagi kesemua kelab dan persatuan yang melibatkan pelajar di kolej ini. Saya menganggap tugas yang diberikan ini sebagai suatu tanggungjawab yang selari dengan minat saya.
Pada peringkat awal, semasa diadakan perjumpaan bersama-sama pelajar pada 8 Februari 2006, sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan. Ada pelajar yang mahu menubuhkan kelab/persatuan baru berdasarkan minat mereka. Saya menerima cadangan mereka dengan hati terbuka.
Dalam hal penubuhan kelab/persatuan, saya dan Encik K C Lee, Pengetua Kolej SEGi sependapat; iaitu pelajar harus diberi peluang seluas-luasnya untuk memilih kelab/persatuan yang mereka minati.
Maka lahirlah pelbagai kelab/persatuan – yang sedia wujud serta yang baru diwujudkan. Masing-masing kelab/persatuan mempunyai penasihat; manakala saya berperanan menjaga dan menyelaras kesemua kelab/persatuan.
Antara kelab/persatuan yang cukup aktif adalah English Language Society (ELS) dan Kelab Seni & Sastera (KSS). Dancing Club yang baru ditubuhkan juga menunjukkan potensi yang baik kerana diteraju pelajar yang berminat.
Dalam pada itu, ada juga kelab/persatuan yang hidup segan, mati tak mau! Kenyataan ini bukan bertujuan menjatuhkan nama Kolej SEGi. Sebaliknya adalah kenyataan umum dan bersifat pandangan peribadi saya.
Dalam berpersatuan, saya suka mengamalkan disiplin. Khususnya, menepati masa dan mengamalkan etika pertemuan/perjumpaan/mesyuarat. Misalnya, saya memanggil mesyuarat bagi kesemua presidenkelab/persatuan pada 11:15 pagi, 1 Mac 2006. Mesyuarat telah saya tetapkan akan tamat pada 11:45 pagi.
Ada beberapa individu yang datang menepati masa kerana menyedari kepentingan menepati masa. Namun, ada juga yang datang lewat lebih 15 minit. Kedatangan pula ternyata sekadar untuk memenuhi syarat; hadir tanpa sebarang persediaan.
Semua ini membuatkan saya berfikir, apakah pelajar kolej sekarang tidak berminat dalam aktiviti berpersatuan? Atau mereka sekadar mahu berpersatuan tanpa mahu mengamalkan etika dan peraturan berpersatuan? Misalnya, mengendalikan mesyuarat, menulis minit mesyuarat, membuat promosi aktiviti, etika bermesyuarat, merancang aktiviti dan menulis surat rasmi.
Hasil pertemuan dengan beberapa guru sekolah menengah mendapati bahawa sikap yang hampir sama menular di sekolah; pelajar kurang terlibat dalam menangani persatuan/kelab – sehingga guru-guru sendiri yang sebenarnya menjalankan tugas dan tanggungjawab jawatankuasa persatuan!
Pada peringkat kolej, pelajar terbabit tidak mempunyai persediaan dan pengalaman yang secukupnya untuk meneraju persatuan/kelab. Perkembangan ini amat menyedihkan dan membimbangkan.
Kita mengharapkan agar pelajar belajar dan menimba ilmu berkaitan dunia sebenar; termasuk dalam berpersatuan. Bayangkan apa akan berlaku jika kumpulan pelajar yang tidak ada sifat kepimpinan dan pengalaman mengendalikan persatuan/kelab menyertai kelab/persatuan dalam masyarakat. Tanpa pengalaman, tanpa keyakinan diri, tanpa pendedahan, tanpa tahu menulis laporan, tanpa tahu menulis surat rasmi, tanpa tahu penggunaan bahasa dan tanpa bermacam-macam lagi.
Bayangkan realiti ini: merekalah bakal pemimpin negara ini!
Mujurlah, masih ada pelajar yang menunjukkan minat untuk belajar. Mereka rajin berbincang dan menimba ilmu. Mereka sedia menyertai aktiviti anjuran Kavyan untuk belajar. Mereka mendapat pengalaman sebenar kerana kesemua aktiviti Kavyan adalah “sebenar”, bukan “olok-olok”.
Kami di Kolej SEGi Subang Jaya mahu memberikan yang terbaik kepada pelajar dalam berpersatuan. Namun, akhirnya, tanpa kesungguhan dan minat para pelajar, tiada apa yang boleh dilakukan.
Haruskah saya menangisi realiti ini?