Saya dan Ayya (panggilan manja bagi anak saya, Ganesan Duraisamy) telah memenuhi undangan Jawatankuasa Nasional Anugerah Seri Angkasa untuk menyaksikan “Anugerah Seri Angkasa 2005” pada 10 Mac 2006 (Jumaat), 8:00 malam di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Sesungguhnya ini kali pertama kami berdua menghadiri malam gemilang anugerah rasmi negara ini; juga kali pertama menjejak kaki ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Berpandukan laluan ke Menara KLCC, kami berjaya sampai tanpa masalah – kecuali tentunya jalan penuh sesak dari Shah Alam ke Kuala Lumpur!
Syarat pakaian yang tercatat pada kad undangan adalah sut lengkap hitam bagi lelaki dan pakaian formal bagi wanita. Kami berdua memastikan syarat itu dipenuhi kerana kami tidak mahu menjadi tetamu yang tidak tahu membaca syarat yang sudah ditetapkan. Namun, seperti yang dapat diduga, tidak semua tetamu yang nampaknya tahu membaca syarat/peraturan yang tertera pada kad undangan.
Majlis Penyampaian Anugerah Seri Angkasa disiarkan secara langsung melalui beberapa stesen televisyen pada pukul 9:00 malam. Pasti ada iklan. Apa yang berlaku semasa siaran iklan? Di Dewan Plenary, dua wanita akan memegang sepanduk bertulis “Kita berehat sebentar” (atau lebih kurang begitu) dan berjalan dari kiri ke kanan (atau kanan ke kiri).
Pada masa itu, ada sedikit persembahan nyanyian di pentas. Saya dan Ayya berpendapat bahawa si penyanyi terbabit adalah bintang muda kerana tidak diberi peluang muncul di kaca televisyen – hanya menyanyi di hadapan penonton di auditorium.
Masa iklan juga digunakan oleh ramai tetamu di dewan untuk ke tandas; sehingga saya mula berfikir apa perlunya mereka pergi ke tandas begitu kerap. Atau mungkin ada agenda lain bagi mereka?
Apabila siaran iklan (di TV) hampir tamat, dua wanita yang saya nyatakan tadi akan berjalan lagi sambil memegang sepanduk bertulis “Kita kembali bersama” (atau lebih kurang begitu). Jika anda mahu tahu siapa dua wanita itu … merekalah juga yang bertugas sebagai pengiring kepada para penerima anugerah yang berjalan dari tempat duduk ke tangga pentas.
Saya dan Ayya berbisik, mungkin kedua-dua wanita ini pada mulanya diberitahu bahawa mereka menjadi pengiring kepada penerima anugerah. Setelah mereka bersetuju dengan penuh gembira, barulah mereka diberitahu bahawa mereka juga perlu berjalan memegang sepanduk!
Acara tamat pukul 11:00 malam. Selepas itu, kami ke jamuan lewat malam (supper) yang disediakan.
Mungkin sahaja kami bukan peminat artis dan majlis penyampaian anugerah. Namun, kami tetap berasa gembira kerana berpeluang memenuhi undangan rasmi serta berpeluang pula menimba pelbagai ilmu dan pengalaman.
Posted by uthayasb
at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:25 WST