“Selamat pagi, saudara. Selamat pagi, Malaysia. Selamat Tahun Baru. Ya, hari ini, masyarakat keturunan Tamil, Malayali dan Punjabi menyambut tahun baru masing-masing. Masyarakat beragama Kristian pula menyambut Good Friday hari ini dan Easter pada hari Ahad ini. Begitulah uniknya Bangsa Malaysia. Pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai kepercayaan dan adat-resam. Namun, saling memahami, hormat-menghormati dan bertolak-ansur. Sambil bersyukur atas keunikan Bangsa Malaysia, kita lihat pula apa berita-berita menarik dalam segmen Ulasan Akhbar.”
Demikian saya memulakan segmen Ulasan Akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 pagi tadi. Saya telah menggunakan peluang muncul di kaca televisyen untuk mengucapkan Tahun Baru Tamil, Malayali dan Punjabi kepada semua!
Tahun ini agak istimewa juga kerana beberapa perayaan pada hari yang sama. Cuma, sambutan tahun baru masyarakat Telegu jatuh pada 30 Mac 2006.
Tiga pelajar saya di Kolej SEGi – Revathi, Priadhashini dan Shubashini – telah menghasilkan beberapa poster ringkas-menarik untuk mengucapkan ketiga-tiga tahun baru kepada pelajar dan staf Kolej SEGi. Poster berkenaan dilekatkan di beberapa tempat strategik untuk menarik perhatian ramai. Pada hari ini juga, mereka bertiga – dan beberapa rakan mereka – berpakaian tradisional sempena sambutan tahun baru.
Namun, agak sedih juga kerana majoriti pelajar dan staf kaum India seperti tidak kisah langsung tentang sambutan tahun baru pada hari ini. Demikian pemerhatian yang dilaporkan oleh Puan Shyamala.
Semasa mendengar siaran radio THR Raaga pagi tadi, saya terasa amat kecewa kerana berulang kali disiarkan ucapan “Tahun Baru Hindu”. Apakah pakar-pakar di THR Raaga tidak mampu membezakan antara “agama” (Hindu) dan “keturunan” (Tamil, Malayali, Punjabi, Telegu)?
Sekadar contoh, kalau hari ini merupakan Tahun Baru Hindu, bagaimana dengan masyarakat keturunan Telegu yang menyambut tahun baru pada 30 Mac 2006? Adakah mereka bukan orang beragama Hindu? Atau mereka menyambut Tahun Baru Ugadi dan juga Tahun Baru Hindu?
Pada pagi ini juga, saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk temubual ringkas bersama penolong editor Dewan Masyarakat sempena ulang tahun 50 tahun DBP. Saya dan editor Tunas Cipta sempat bertemu pula dengan dua pengetua dari sekolah di Kluang, Johor untuk membincangkan acara Baca Cerpen Tunas Cipta pada bulan Jun 2006.
Juga sempat bertemu sebentar dengan Penasihat Agung Kavyan, SN Datuk Dr A. Samad Said dan Penasihat Kehormat Kavyan, Dato’ Dr Anwar Ridhwan untuk membincangkan secara ringkas perkembangan aktiviti Kavyan.
Suatu permulaan yang baik bagi Tahun Baru Tamil/Malayali/Punjabi.
Posted by uthayasb
at 21:04 JST
Updated: Saturday, April 15, 2006 12:39 JST