Selepas membuat ulasan akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM1), saya pergi mengambil Prabhawathy sekitar pukul 8:30 pagi dan kami pun pergi ke Kamunting, Perak.
Semasa dalam perjalanan, diumumkan melalui radio berita mengenai Tun Abdul Ghafar Baba meninggal dunia.
Kami berdua sampai di rumah ibu bapa Prabhawathy sekitar 11:45 pagi. Betapa seronok dapat bertemu Devishi Prabha Sankari setelah beberapa bulan! Macam-macam yang diceritakannya kepada kami. Seperti biasa, mulalah dia mahu dimanjakan oleh Acha (bahasa Malayalam bagi “ayah”).
Sekitar 1:45 tengah hari, kami bertiga pergi ke rumah kenalan lama di Aulong dan Aulong Lama. Namun, nampaknya tidak ramai anggota keluarga yang berada di rumah kerana telah sama ada pergi kerja atau keluar.
Penduduk di Aulong Lama khabarnya akan diberi tanah berlot dalam masa terdekat. Baguslah – setelah berdekad-dekad lamanya menanti dan membayar wang yang banyak (khususnya setiap kali menjelang pilihan raya umum!) bagi pendaftaran hak milik – akhirnya mereka akan mendapat tanah sendiri.
Tanda-tanda penyusunan semula kawasan di Lorong B, Aulong Lama memang sudah kelihatan. Kawasan di sekitar kandang lembu/kerbau sudah diratakan dan khabarnya kandang itu akan dipindahkan dalam masa terdekat.
Tidak mustahil bahawa apabila saya berpeluang untuk datang ke Aulong Lama sekali lagi, keadaan di sini akan banyak berubah. Semoga perubahan itu nanti adalah ke arah yang positif. Semoga hidup penduduk di sini lebih baik.
Mungkin sungai/lombong di Aulong Lama akan tiada lagi. Malah, kini pun lombong sudah hampir tidak berair. Setiap kali pulang ke kampung, saya akan bertanya kepada jiran, apakah lombong itu masih berair dan masih berikan. Betapa indah pengalaman menangkap ikan pelaga dan memancing ikan pada masa dahulu …
Ah! Nampaknya semua itu akan hanya menjadi nostalgia indah. Semuanya tetap akan berubah. Rumah papan yang pernah saya duduki sehingga tahun 1991 masih ada; walaupun sudah hampir roboh. Namun, semuanya tetap akan berubah.
Mungkin dalam masa beberapa tahun lagi, saya perlu membawa anak-anak saya ke sini dan menceritakan kepada mereka betapa Aulong Lama telah berubah daripada sebuah “Siru Kambam” (kampung kecil) kepada sebuah taman perubahan moden.
Kami tidak lama di Aulong Lama; sehingga sekitar 4:00 petang sahaja. Selepas itu kami pulang ke rumah ibu bapa Prabhawathy untuk minum petang dan meluangkan masa bersama-sama Devishi.
Sekitar 5:30 petang, setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Devishi, kami pulang ke Lembah Klang.
Posted by uthayasb
at 00:01 JST