Semalam, semasa waktu antara dua sesi peperiksaan di Kolej The One Academy, saya sempat ke kedai buku MPH di Sunway Piramid. Saya sekadar mahu meninjau judul-judul baru yang ada. Mana tahu kalau-kalau ada judul baru yang tidak saya jumpa di kedai buku MPH di The Summit.
Akhirnya, saya membeli The Five People You Meet in Heaven karya Mitch Albom iaitu penulis Tuesdays with Morrie. Suatu belian yang baik juga kerana diskaun 30% ditawarkan bagi buku berharga RM29.50 ini.
Buku ini tentulah bukan judul baru. Malah, sebuah filem telah dihasilkan tidak lama dahulu berdasarkan novel ini. Namun, saya tidak berpeluang menontonnya; dan DVD filem itu juga belum saya temui.
Hari ini pula, setelah meninjau buku-buku di MPH, The Summit, saya ke Pay Less untuk meninjau jika ada judul yang memikat hati. Buku Life of Pi masih belum ada. Setelah lebih setengah jam, saya temui buku A Widow for One Year dan The Fourth Hand oleh John Irving. Kedua-duanya berkulit keras dan setiap satu berharga RM12 sahaja.
Dua karya John Irving – setahu saya – telah difilemkan, iaitu The World According to Garp dan The Cider House Rules.
Ternyata saya sentiasa membeli – dan pastinya membaca – buku lama dan baru. Bukan fiksyen sahaja. Semuanya kerana minat terhadap pembacaan dan ilmu.
Misalnya, pagi tadi, semasa membuat ulasan akhbar berkaitan wang syiling palsu 50 sen dan MyKad palsu, saya mengaitkannya dengan The Broken Window Theory atau Teori Tingkap Pecah yang telah saya baca dalam buku The Tipping Point.
Saya juga mahu menyarankan kepada pihak Pengurusan Kolej SEGi supaya meneliti tindakan pelajar dan kakitangan merokok di dalam bangunan kolej dari sudah Teori Tingkap Pecah.
Pelajar dan kakitangan memang sedia maklum bahawa mereka tidak boleh merokok di dalam bangunan kolej. Sekiranya ada orang merokok dan tiada tindakan diambil, maka individu itu serta individu lain akan beranggapan bahawa tindakan merokok di dalam bangunan Kolej SEGi tidak menjadi kesalahan – atau sekurang-kurangnya tidak akan dikenakan tindakan disiplin.
Sebaliknya, jika tindakan tegas diambil berdasarkan peraturan kolej terhadap mana-mana individu yang merokok di dalam bangunan kolej, maka mesej yang dihantar adalah nyata: Sesiapa pun tidak dibenarkan merokok di dalam bangunan Kolej SEGi.
Begitu juga semasa peperiksaan. Jika ada pelajar didapati menyeludup masuk kertas/nota/catatan dan tindakan yang diambil hanyalah merampas kertas itu, maka pelajar akan beranggapaan bahawa tidak salah membawa masuk kertas ke dewan peperiksaan – asalkan dia tidak kena tangkap!
Bagi mengelakkan sebarang bentuk penipuan semasa peperiksaan, bagi semua subjek LAN yang saya ajar, arahan adalah cukup mudah: calon hanya dibenarkan membawa pen ke dalam dewan peperiksaan; semua peralatan lain tidak dibenarkan sama sekali. Sehingga kini, tidak timbul masalah bagi peperiksaan LAN yang saya kendalikan.
Idea yang saya gunakan ini, saya percaya, bukan idea asli daripada saya. Pasti saya telah membacanya di mana dan mengaplikasikannya dalam hidup.
Buku dan lebih banyak buku! Semuanya dipenuhi ilmu.
Posted by uthayasb
at 19:05 JST
Updated: Monday, April 24, 2006 14:29 JST