Pelbagai aktiviti diatur oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena ulang tahun ke-50 dengan slogan/tema “50 Tahun Memartabatkan Bahasa Kebangsaan”.
Hari ini saya ke DBP untuk bertemu beberapa pegawai untuk membincangkan aktiviti yang diatur. Kavyan juga diberi slot, secara langsung dan secara tidak langsung.
Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, DBP dengan kerjasama Kedutaan Sepanyol menganjurkan Baca Naskhah Sejarah Melayu pada 25-28 April 2006, 10:30 pagi hingga 11:30 pagi di Galeri Ilmu Koperasi DBP, Kuala Lumpur. Hanya 24 peserta dipilih untuk mengambil bahagian dalam acara membaca naskhah secara bergilir-gilir ini; seumpama siri baca cerpen/novel anjuran Kavyan. Pada acara ini, Kavyan diwakili saya dan Ganesan di mana kami akan membaca teks pada 27 April 2006.
23 April merupakan tarikh simbolik iaitu hari yang ditetapkan oleh Sidang Umum UNESCO sejak 1995 sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia; dan disambut di seluruh dunia demi menggalakkan semua warga dunia menikmati pembacaan.
Pada 23 April 2006 (Ahad), Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said yang juga Penasihat Agung Kavyan akan terlibat dalam upacara perasmian World Book Day di kedai buku MPH di Megamall, Kuala Lumpur. Menurut Pak Samad, acara bermula pukul 2:00 petang.
Untuk makluman, MPH, Popular serta beberapa kedai buku menawarkan potongan istimewa sempena sambutan yang amat istimewa ini – walaupun carian di Friendster akan menunjukkan ramai warga Malaysia di sana mengisytiharkan bahawa “I’m a true Malaysian, so I don’t read books” atau senada dengannya. Memang memalukan!
Berbalik pada acara di DBP, pada 28 April 2006 (Jumaat), 9:30 pagi akan berlangsung “Wacana Persuratan Melayu” di Dewan Bankuet, Aras 1, Menara DBP. Tokoh pembicara yang diundang, menurut e-mel yang saya terima, ialah Pak Samad dengan tajuk wacana “Ilham dari Lantai T. Pinkie” dan sarjana Sepanyol, Susana Martinez Vellon.
Saya percaya bahawa Pak Samad akan membawa edisi terbaru buku Lantai T. Pinkie terbitan Wira Bukit untuk dijual kepada khalayak. Jika ada yang berminat, bolehlah menghubungi saya untuk membuat tempahan awal agar mudah bagi Pak Samad membawa jumlah buku yang perlu.
Pada 3 dan 9 Mei 2006, saya akan terlibat mengendalikan bengkel penulisan cerpen bagi sekumpulan pelajar dari Thailand yang mengikuti pengajian Melayu. Puan Khadijah berpesan kepada saya supaya tidak bercakap terlalu pantas semasa mengendalikan bengkel itu nanti kerana rata-rata pelajar terbabit belum sepenuhnya fasih menggunakan Bahasa Malaysia.
Demikian antara aktiviti sempena usaha memartabatkan Bahasa Malaysia. Apakah pula sumbangan saudara ke arah itu? Tepuk dada, tanya selera.
Posted by uthayasb
at 00:01 JST
Updated: Saturday, April 22, 2006 18:09 JST