Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
« September 2006 »
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Sasterawan
Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia!
Tuesday, September 19, 2006
Etika dalam Pendidikan

Hari ini saya telah membuat keputusan untuk tidak terus memeningkan kepala memikirkan segala “manipulasi” yang dilakukan beberapa pihak. Saya mempunyai pilihan sama ada untuk berdiam diri dan membenarkan sahaja manipulasi itu diteruskan atau bersuara.

 

 

Saya telah bersuara secara penuh tegas sejak “tindakan tidak beretika” itu mula saya ketahui sekitar dua bulan lalu. Saya tidak boleh berkompromi dan saya telah menyatakan pendirian saya dengan tegas. Lalu, saya semacam diminta berdiam diri sahaja.

 

 

Berdiam diri maknanya bersubahat! Sama sahaja seperti menggalakkan tindakan tidak beretika itu diteruskan.

 

 

Saya telah cuba mendapatkan beberapa surat dan penerangan bertulis bagi membuktikan bahawa apa yang saya cuba lakukan adalah berasas dan selaras dengan pekeliling dan prosedur yang ditetapkan pihak kementerian.

 

 

Nampaknya semua itu sia-sia sahaja kerana semalam (18 September 2006), keputusan dibuat oleh pihak “atasan” untuk meneruskan tradisi yang sudah sekian lama mendarah daging; walaupun mereka sedar tentang implikasinya jika dikesan pihak berkuasa.

 

 

Saya tidak mahu bersubahat. Saya telah cuba sedaya-upaya menjelaskan implikasi dengan memberi contoh dan kesan tindakan seumpama itu; apatah lagi apabila ia melibatkan golongan pelajar kolej.

 

Ada pula pelajar yang boleh mendapat keputusan subjek LAN tanpa perlu mengambil subjek itu!

 

 

Malah, ada pula individu yang cuba “merampas” kuasa dengan mahu mempunyai kata putus dalam bidang kuasa saya. Apa yang menghairankan, kertas-kertas soalan yang disediakan oleh pihak individu berkenaan selalunya disemak dan diluluskan oleh saya mengikut kriteria dan syarat yang ditetapkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

 

 

Maka, saya sudah membuat keputusan untuk tidak lagi bersubahat dengan cara berdiam diri. Saya sudah memutuskan untuk menerima tawaran dari tempat lain. Mungkin sahaja kemudahan (seperti bilik) tidak sehebat seperti yang “dinikmati” sekarang tetapi sekurang-kurangnya saya tidak perlu terlibat dalam kerja-kerja tidak beretika dan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip saya sebagai seorang tenaga pengajar yang mahu memberikan ilmu yang terbaik kepada pelajar.

 

 

Saya tidak mahu nanti pelajar yang menyedari sijil/transkrip yang diberikan kepada mereka tidak sah, lalu mereka datang mengadu kepada saya dan meminta penjelasan.

 

 

Saya telah cuba melawan “kejahatan”. Sebelum saya diserap masuk ke dalam kejahatan itu, elok saya mencari tempat di mana ada lagi nilai dan etika dalam pendidikan.


Posted by uthayasb at 17:38 JST
Updated: Tuesday, September 19, 2006 17:48 JST
Post Comment | Permalink

View Latest Entries