Setelah mula ditayangkan beberapa minggu lalu (seminggu lalu?), saya menggunakan kesempatan “waktu anjal” (flexi hour) pada 1 September 2006 untuk menonton filem terbaru lakonan Kamal Hasan, Veeteiaadu Vilayadu.
Sejak permulaan filem, saya sudah dapat menjangkakan suatu kelainan berbanding filem-filem Tamil yang lumrah. Ternyata filem terbaru ini tidak menghampakan. Apatah lagi, sudah agak lama juga saya tidak teruja untuk menonton filem Tamil di pawagam.
Kelainan Veeteiaadu Vilayadu bukan semata-mata pada latar New York, Amerika Syarikat yang digunakan. Sebaliknya pada plot dan gaya penceritaan itu sendiri. Saya perhatikan pengaruh ala X-Files di mana maklumat masa dan tempat dipaparkan pada penjuru kiri/kanan skrin. (Hal ini mungkin juga kerana saya masih dalam proses panjang menonton keseluruhan 9 musim siri X-Files melalui DVD.)
Berbeza dengan kebanyakan filem Tamil (dan Hindi), filem lakonan mantap Kamal Hasan dan Jothika ini juga membuatkan penonton tertus tertarik untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya – malah, apa yang berlaku sebelumnya!
Teknik imbas kembali dan imbas muka yang digunakan cukup memuaskan seorang peminat karya fiksyen seperti saya. Penggunaan teknik white wash dan hitam-putih juga memberi kesan yang amat berkesan pada file mini.
Lagu-lagu filem ini menjadi pilihan ramai. (Nota: Terlalu banyak baru lama sekarang ini sehingga lagu yang “amat” diminati masyarakat minggu lalu boleh menjadi lagu “lama” pada minggu ini!) Lagu yang tidak dapat tidak saya berikan tumpuan khusus adalah lagu “Neerupe” yang turut dinyanyikan abang ipar saya, Venkadasayee (atau nama glamornya dalam bidang perfileman ialah Solar Sai.) Adegan tarian berkenaan memang tidak ada apa-apa kaitan dengan jalan cerita tetapi pasti ramai golongan muda yang suka menonton adegan tarian itu.
Tema dan jalan filem ini juga memuaskan hati saya sebagai seorang individu yang muak menonton filem-filem yang tidak mencabar minda. Pemilihan persoalan pembunuh bersiri – rasa saya – adalah suatu aspek yang baru dalam industri filem Tamil. Mungkin ada kisah pembunuh bersiri; tetapi maksud saya, persoalan yang dihurai menggunakan sudut pandangan penyiasatan ala filem Barat.
Selain Kamal Hassan, lakonan Jothika juga amat baik. Dia mampu memberi kesan mimic muka (ekspresi) yang sesuai dengan watak yang dibawakan. Ternyata Jothika bukan semata-mata pelakon yang “memperdagangkan” rupa paras untuk mendapat tempat dalam dunia perfileman. Tahniah!
Lakonan Prakash Raj meninggalkan kesan dalam jiwa. Begitu juga beberapa lagi pelakon yang saya tidak kenal nama. Walaupun kehadiran mereka dalam beberapa babak sahaja, namun mereka berjaya memberikan yang terbaik dalam memastikan filem Veeteiaadu Vilayadu benar-benar berjaya.
Cuma, beberapa “kelemahan” filem Tamil masih ketara. Misalnya, saya masih tertanya-tanya, bagaimana mungkin apabila keluar dari bilik hotel Jothika/Kamal, betul-betul di hadapan mereka terdapat balkoni yang cuba digunakan oleh Jothika untuk membunuh diri! Adakah benar-benar terdapat hotel seperti itu di New York? Saya percaya ini pengaruh filem Tamil semata-mata dan bukan reality sebuah hotel sebenar di Amerika.
Begitu juga, saya sedikit kecewa dengan penyelesaian filem yang tidak dapat lari daripada penyudah yang klise. Jothika yang ditanam hidup-hidup masih hidup. Beberapa pembaharuan watak dan perwatakan telah dilakukan dalam file mini. Mengapa pengakhiran cerita dibiarkan tetap pada takuk lama?
Mungkin untuk santapan golongan yang berlum bersedia menerima perubahan.