Ramai yang mungkin beranggapan bahawa subjek MPW/LAN di kolej swasta tidak perlu diberi perhatian khusus. Pandangan seumpama ini nampaknya bukan hanya di kalangan pelajar IPTS yang “terpaksa” mengikuti subjek berkenaan; malah juga di kalangan pihak atasan di beberapa IPTS.
Saya masih ingat bagaimana seorang Ketua Eksekutif (CEO) sebuah IPTS memberitahu saya secara spontan bahawa “semua kolej swasta mengamalkan sikap tidak beretika dengan mengubah suai keputusan subjek MPW” dan “memang banyak kolej memberi transkrip subjek MPW kepada pelajar yang langsung tidak mengambil subjek MPW”.
Pastinya kenyataan yang “menghina” itu dinyatakan secara lisan. Kalau tidak, pasti buruk padahnya. Tentu sekali saya tidak akan teragak-agak melaporkan “tuduhan” itu kepada pihak Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang menguruskan semua subjek LAN/MPW.
Apa pun, saya telah memberitahu CEO berkenaan bahawa saya menjadi pensyarah bagi subjek MPW dan saya tidak menganggap subjek itu sebagai “subjek sampingan” yang “boleh dipandang ringan”.
Saya juga telah menegaskan bahawa saya tidak akan sekali-kali memberi kerjasama dalam apa-apa tindakan tidak beretika mana-mana kolej yang cuba mengubah suai keputusan, prosedur, skema pemarkahan dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak LAN dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Katakanlah, saya menutup sebelah mata pada tindakan tidak beretika pihak kolej di mana saya mengajar terhadap hal-hal berkaitan subjek MPW. Apabila kes itu diketahui pihak LAN, pasti permit mengajar saya akan ditarik.
Kesannya? Saya tidak boleh menjadi pensyarah di mana-mana kolej!
Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu bertindak bertentangan dengan prinsip yang menjadi amalan saya. Biarlah orang lain – termasuk mana-mana CEO kolej swasta – menganggap subjek MPW sebagai tidak penting dan boleh dimanipulasi. Bagi saya, saya tetap akan melakukan yang betul dan benar.
CEO berkenaan mengatakan “semua kolej swasta mengamalkan sikap tidak beretika dengan mengubah suai keputusan subjek MPW” dan “memang banyak kolej memberi transkrip subjek MPW kepada pelajar yang langsung tidak mengambil subjek MPW”. Tahukah CEO berkenaan apa implikasi kata-katanya itu?
Untuk makluman mana-mana pihak yang memandang enteng terhadap subjek MPW, ketahuilah bahawa masih banyak IPTS yang akur pada garis panduan LAN serta menjaga kualiti subjek MPW tanpa “memperdagangkan” transkrip.
Apa pun, seperti yang selalu dinyatakan oleh Khandan dan boleh dibaca dalam beberapa buku saya: “Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang.”