Duhai Diari,
Saya telah mengirim e-mel kepada pegawai di Jabatan Sumber Manusia (HR) tempat saya bekerja untuk mendapatkan pengesahan berapa lama tempoh notis yang perlu saya beri jika mahu berhenti kerja.
Pegawai berkenaan mengatakan bahawa notis sebulan sudah memadai. Apa pun, memandangkan saya satu-satunya pensyarah subjek MPW/LAN di kolej tempat saya bekerja, saya perlu juga memikirkan nasib para pelajar saya jika saya berhenti dengan notis sebulan.
Sebenarnya, sejak beberapa bulan lalu, saya sudah menyarankan kepada pihak HR supaya mendapatkan sekurang-kurangnya seorang lagi pensyarah subjek MPW; apatah lagi kerana jadual kuliah saya sudah amat padat. Namun, sehingga kini, belum muncul pensyarah yang dipinta.
Terbaru, pihak HR meminta saya tolong tengok-tengokkan kalau ada calon yang sesuai. Sebelum ini pun saya telah mengemukakan resume beberapa calon tetapi nampaknya semua “tidak sesuai”.
Kuliah saya sudah bermula awal September 2006. Beberapa lagi akan bermula Oktober 2006. Kebanyakan kuliah tamat pada akhir November 2006. Satu kuliah hanya berakhir pada akhir Disember 2006 manakala satu lagi berlanjutan sehingga akhir Januari 2007.
Tentu sekali saya tidak mahu para pelajar saya digantung tanpa tali selepas saya berhenti pada 30 November 2006; dan belum ada pensyarah baru. Saya tidak perlu risau mengenai kuliah yang tamat pada akhir November 2006 kerana pelajar hanya menduduki peperiksaan pada bulen Disember – dan kertas peperiksaan disediakan oleh “pakar” dari pusat lain.
Saya telah cuba mendapatkan pandangan beberapa individu; termasuk pelajar berhubung hal ini. SMS yang saya kirim adalah:
“Pada pandangan anda, adakah wajar saya memberi notis satu bulan pada 30 Oktober 2006 dan berhenti kerja pada 30 November 2006; atau memberi notis dua bulan pada 30 September 2006 dan berhenti kerja pada 30 November 2006?”
Antara pandangan yang dikemukakan adalah seperti berikut:
“Sir, beri notis dua bulan. Pihak kolej mungkin cuba menimbulkan masalah dan tentu sir perlukan masa untuk berbahas dan menyelesaikan masalah itu.”
“Saya rasa notis sebulan pada 30 Oktober 2006 sudah memadai. Malah, kalau notis diberi pada 30 September 2006, pihak kolej mungkin meminta anda berhenti pada 30 Oktober 2006!”
“Walaupun saya mahu sir terus menjadi pensyarah di kolej tempat saya belajar, saya mencadangkan sir memberi notis sebulan 30 Oktober 2006 dan berhenti pada 30 November 2006. Tiada gunanya menghulurkan perkhidmatan kepada pihak kolej yang tidak tahu menghargai seorang pensyarah yang berkualiti. Saya tidak mengatakan ini bagi tujuan mengampu; sebaliknya pandangan ikhlas saya. Terima kasih kerana menjadi pensyarah yang amat baik dan penuh dedikasi.”
“Saya akan menyarankan supaya sir tidak pergi! Akan tetapi, kalau diminta membuat pilihan, saya rasa lebih baik sir beri notis dua bulan pada 30 September 2006.”
“Pada mulanya, saya amat terkejut apabila seorang rakan kolej memberitahu hal ini. Kenapa mahu berhenti? Apa pun, saya rasa, berilah notis satu bulan – dan anjurkan jamuan perpisahan untuk kami semua!”
“Kalau sir minta pandangan saya … notis dua bulan.”
“Saya rasa notis dua bulan adalah lebih sesuai.”
“Kamu kan hanya diperlukan memberi notis satu bulan? … Atau ada strategi lain dalam fikiran?”
“Saya rasa notis bua bulan adalah lebih baik. Akan beri masa kepada pihak pengurusan untuk mencari pengganti.”