Saya selesai membaca kumpulan cerpen Twisted (2003) karya Jeffery Deaver. Pengarang ini amat baru bagi saya; walaupun saya begitu tertarik menonton filem The Bone Collector yang diadaptasi daripada novel pengarang ini.
Saya seorang peminat karya-karya R.K. Narayan; novel, cerpen dan rencana. Saya suka pada cara beliau menggunakan bahasa yang cukup mudah untuk bercerita. Hal ini sudah banyak kali saya sebut di pelbagai tempat. Malah, gaya penulisan R.K. Narayan turut mempengaruhi gaya penulisna saya secara tidak langsung.
Empat buku yang menggabungkan semua novel, cerpen dan rencana R.K. Narayan telah saya beli secara beransur-ansur dari kedai buku Silverfishbook, Bangsar. Suatu koleksi yang amat saya sayang.
Novel-novel yang ditulis oleh John Grisham juga saya cukup minati. Terakhir, saya membaca The Summons (2002); sesudah membaca The King of Torts (2003). Filem-filem yang dihasilkan berdasarkan novel-novel Grisham juga menjadi pilihan saya.
Roald Dahl ialah seorang lagi penulis yang amat saya gemari. Mungkin saya tidak begitu meminati novel-novel beliau; malah, bagi James and the Giant Peach dan Charlie and the Chocolate Factory, saya hanya menonton filem berkenaan.
Dua koleksi cerpen Roald Dahl yang sedang saya baca sekarang adalah Completely Unexpected Tales (gabungan koleksi Tales of the Unexpected dan More Tales of the Unexpected)dan Collected Short Stories (gabungan koleksi Kiss Kiss, Over to You, Switch Bitch, Someone Like You serta lapan cerpen lain).
Jeffrey Archer juga penulis yang saya minati gaya penulisannya. Sekali lagi, saya lebih meminati cerpen beliau berbanding novel. Saya cukup bernasib baik kerana berpeluang membeli (dengan harga yang cukup murah) sebuah koleksi cerpen-cerpen Archer berjudul The Collected Short Stories (1998) yang menggabungkan ketiga-tiga kumpulan cerpennya, iaitu A Quiver Full of Arrows, A Twist in the Tale dan Twelve Red Herrings.
Saya juga berpeluang membaca biografi Archer dan saya lebih memahami latar belakang beliau serta kandungan karya yang beliau hasilkan.
Saya sering membaca beberapa buku sekaligus. Misalnya, sebuah buku saya tempatkan di rumah, sebuah di dalam kereta dan sebuah di kolej. Maka, apabila ada masa terluang, saya membacanya.
Roald Dahl sering memasukkan unsur luar jangkaan pada akhir cerita. (Entah mengapa “The Sound Machine” yang dipilih untuk teks Komsas sedangkan banyak lagi cerpen yang membawa identiti Dahl dan cukup menarik untuk dibaca.)
Dalam cerpen-cerpen Jeffery Deaver pula, unsur luar jangkaan (atau “twist”) terdapat pada bahagian pertengahan cerita dan juga pada penghujung cerita. Maka, pembaca sukar untuk menjangka apa yang sebenarnya akan berlaku.
Karya-karya yang mencabar minda seperti ini membuatkan kreativiti saya sering aktif dan berkembang.