Blog Tools
Edit your Blog
Build a Blog
RSS Feed
View Profile
« April 2006 »
S M T W T F S
1
2 3 4 5 6 7 8
9 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30
You are not logged in. Log in
Entries by Topic
All topics  «
Sasterawan
Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia!
Saturday, April 8, 2006
Baca Cerpen, Tarian Sumazau dan Tayangan Drama
Sekumpulan pelajar Kolej The One Academy, Bandar Sunway yang mengambil subjek Bahasa Malaysia telah menjayakan acara Baca Cerpen Kanak-kanak di auditorium kolej berkenaan pada 8 April 2006 (Sabtu).

Lima buah cerpen kanak-kanak yang termuat dalam kumpulan Munis Dengan Harimau (Fajar bakti: 1996) dijadikan teks bacaan di mana cerita-cerita rakyat kaum India terbabit penuh dengan unsur moral dan pengajaran.

Selepas para pelajar Kolej The One Academy selesai membaca teks cerpen secara bergilir-gilir, majlis diserikan pula dengan tarian Sumazau oleh sekumpulan pelajar dari Kolej Optima, Subang Jaya.

Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah daripada suku kaum Kadazandusun dan ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.

Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut; pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu dan tangan pula dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang.

Setelah dihiburkan dengan tarian Sumazau, para hadirin berpeluang pula menonton rakaman drama yang dihasilkan oleh pelajar Kolej The One Academy berdasarkan cerpen-cerpen yang dijadikan teks Baca Cerpen Kanak-kanak.

Ternyata rata-rata pelajar mampu mengolah teks cerpen menjadi drama yang cukup berkesan dan menarik untuk ditonton di mana pelbagai unsur seperti komedi, suspen dan moral diselitkan dalam drama yang mereka hasilkan.

Kisah Gadis Kecil” menceritakan tentang Malliga yang yatim piatu dan didera oleh Mak Cik Saras. Lantaran budi baik dan sifat-sifat murni yang dimiliki, Malliga dibantu oleh Chittu, seekor burung pipit sehingga akhirnya gadis itu menjadi anak angkat raja dan permaisuri di negeri Kerala.

Munis dengan Harimau” pula mengisahkan seorang pemuda yang mahu dibaham oleh seekor harimau yang diselamatkannya. Namun, di tangan pelajar Kolej The One Academy, cerita itu diolah secara bebas sambil berpegang pada moral yang terkandung di dalamnya.

Dalam cerita “Pengalaman Rani”, gadis itu tinggal bersama abang dan kakak ipar yang membencinya. Pada suatu hari, Rani mendapat pengalaman yang luar biasa apabila dia makan nasi beriani dengan lahap di dalam kuil Dewi Kaali. Selepas itu, abang dan kakak iparnya cuba membunuhnya. Namun begitu, Rani yang baik hati dan pintar itu berjaya menyelamatkan diri.

Melalui cerita “Raja yang Kejam” pula dikemukakan watak Maharaja Athiputra yang memerintah secara zalim. Pada suatu hari, dia berjaya mendapat tahu tarikh dan punca kematiannya. Lalu, dia berusaha keras untuk menyelamatkan diri daripada maut. Akan berjayakah Maharaja Athiputra melawan takdir Tuhan?

Si Keldai dan Si Kuda” memaparkan kisah tentang seekor kuda yang penat kerana terpaksa bekerja keras. Lalu, rakannya, si keldai mencadangkan agar si kuda melarikan diri ke dalam hutan. Di sana, si kuda berjaya pula menghalau sang harimau dengan menyamar sebagai Kudrai. Sementara itu, setelah si kuda hilang, si keldai pula dikerah bekerja keras. Lalu, si keldai juga lari ke dalam hutan. Akan tetapi, si kuda tidak mahu menolongnya. Maka si keldai membalas dendam terhadap perbuatan si kuda.

Secara kesuluruhan, komitmen, minat dan bakat yang dipertontonkan oleh para pelajar The One Academy dan Kolej Optima adalah amat membanggakan dan wajar diucapkan syabas.

Posted by uthayasb at 00:01 JST
Updated: Sunday, April 9, 2006 13:05 JST
Post Comment | View Comments (23) | Permalink
Thursday, April 6, 2006
Kembali Aktif - dan Awet Muda
Bulan Mac 2006 berakhir dengan kerja yang agak banyak di Kolej SEGi Subang Jaya. Maklumlah, kemasukan pelajar baru (ambilan Mac 2006) serta kelas-kelas yang sedia ada (ambilan Januari 2006).

Kami juga sedang berusaha menjadikan kelab dan persatuan di kolej lebih aktif. Perkara ini berkali-kali (dan berulang kali) saya tegaskan kepada para pelajar. Malah, bagi jawatankuasa yang tidak menunjukkan komitmen, tindakan tegas telah diambil.

Saya juga hairan bagaimana beberapa pelajar yang pada mulanya begitu bersemangat untuk menubuhkan bermacam-macam kelab/persatuan kemudian hilang begitu sahaja tanpa sebarang berita.

Alasan yang diberikan adalah “sibuk”.

Suatu alasan yang tidak boleh diterima – dan tidak mahu saya komen lagi.

Di Kolej SEGi Subang Jaya, kami sedang dalam proses mendapatkan calon yang bekelayakan bagi memegang jawatan dalam Majlis Perwakilan Pelajar (Student Council). Tugas dan tanggungjawab itu diserahkan oleh pihak pengurusan kepada saya dan Puan Shyamala, seorang lagi pensyarah yang prihatin terhadap pelajar.

Peperiksaan bertulis diadakan pada 29 Mac 2006. Temuduga pula diadakan pada 5 April 2006. Kini, kami dalam proses menyenarai pendek calon yang layak untuk bertanding. Selepas itu, masing-masing calon akan mengadakan kempen bagi menarik undi daripada para pelajar.

Suruhanjaya Pilihan Raya juga ditubuhkan bagi menjamin pilihan raya berjalan lancar. Pastinya pengalaman saya terlibat dalam SPR semasa Pilihan Raya Umum 2004 dijadikan panduan bagi menjayakan pilihan raya di Kolej SEGi.

Kami membayangkan suatu suasana yang benar-benar ceria!

Kumpulan pelajar ambilan Mac 2006 juga menunjukkan minat yang membanggakan di dalam dan di luar kelas. Saya sering menggalakkan mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti kokurikulum yang dianjurkan. Mereka memerlukan motivasi.

Namun, memandangkan musim peperiksaan sudah terlalu hampir, rata-rata pelajar sibuk. Aktiviti juga akan berkurangan. Bulan Mei 2006 dijangka menandakan semangat baru di kalangan pelajar untuk terlibat dalam aktiviti.

Tahniah juga kepada pasukan futsal Kolej SEGi Subang Jaya kerana berjaya menduduki tempat kedua dalam sebuah pertandingan antara kolej pada 26 Mac 2006. Walaupun saya kaki bangku, saya ikuti juga perkembangan mereka dengan penuh minat dan prihatin.

Saya tumpang bangga dan tumpang gembira atas semangat para pelaar saya.

Mungkinkah itu satu lagi rahsia awet muda?

Posted by uthayasb at 15:41 JST
Updated: Sunday, April 9, 2006 11:54 JST
Post Comment | Permalink
Saturday, March 18, 2006
Kepenatan Fizikal vs Keceriaan Mental
Tengah hari semalam (17 Mac 2006), apabila Ganesan melihat saya di kolej, dia bertanya adakah saya tidak sihat, sedang runsing memikirkan sesuatu atau marah pada mana-mana pelajar. Menurut anak saya, wajah saya kelihatan tegang dan seperti tidak gembira.

Sememangnya sejak beberapa hari lalu saya berasa amat penat; mengantuk malah. Kalau difikirkan, memang ada sebabnya mengapa saya terasa amat penat. Sejak hampir dua minggu lalu, saya tidak cukup tidur – atau tidak berpeluang untuk tidur lebih lama berbanding hari-hari biasa.

Awal pagi semalam, saya sudah terasa penat dan mengantuk! Namun, saya tetap ke kolej kerana banyak perkara yang perlu dibereskan. Ada pelajar yang mahu datang berjumpa dengan saya. Ada pelajar yang mengirim e-mel dan perlu dibalas. Ada urusan berkaitan Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar Kolej SEGi Subang Jaya (SEGi College Student Council Member Election).

Apabila sudah berada di kolej, rasa mengantuk segera hilang. Namun, ada sedikit rasa pening kepala; mungkin kerana tidak cukup tidur. Ubat yang ditelan bersama-sama air mineral gagal membantu.

Sebelum ke kuliah Pengajian Malaysia di Kolej The One Academy pada sebelah petang, saya sempat tidur sepuluh minit di dalam kereta. Terus saya segar semula; walaupun kepala masih pening sedikit.

Saya merancang untuk tidur awal semalam. Sekitar 10:00 malam – selepas membaca akhbar The Star – saya tidur. Saya bercadang bangun lewat pada pagi ini – iaitu hanya pada pukul 8:00 pagi.

Namun, pada sekitar 11:00 malam, Gina Voon menelefon saya; meminta saya mengganti tempatnya mengulas akhbar pada pagi ini (18 Mac 2006). Saya terus bersetuju kerana memahami bidang tugas Gina sebagai wartawan di RTM.

Maka, saya bangun pukul 6:00 pagi hari ini dan bersedia untuk ke RTM bagi segmen ulasan akhbar Selamat Pagi Malaysia. Akan tetapi, apabila sampai di RTM, barulah saya diberitahu bahawa segmen ulasan akhbar dibatalkan hari ini dan esok! Berkali-kali individu terbabit meminta maaf kerana tidak memaklumkan kepada pengulas akhbar lebih awal.

Saya tahu bahawa tidak ada gunanya saya marah. Lalu saya bertenang dan memandu ke Kolej The One Academy, Bandar Sunway. Sempat saya membaca akhbar Kosmo dan bersarapan sebelum pergi ke kuliah Bahasa Malaysia.

Pelajar Kolej The One Academy bakal menjayakan Baca Cerpen Kanak-kanak serta tayangan drama pada 8 April 2006. Kami sama-sama membincangkan urusan tempat, poster, kad undangan dan kiriman e-mel untuk tujuan promosi.

Kepenatan fizikal ternyata mampu diatasi melalui keceriaan mental. Pengalaman yang pelbagai seperti inilah juga yang menjadikan hidup saya lebih bermakna.

Posted by uthayasb at 15:11 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:04 JST
Post Comment | View Comments (1) | Permalink
Friday, March 17, 2006
Menc(u/a)ri Masa
Catatan ini merupakan lanjutan daripada entri semalam. …

Satu lagi amalan saya adalah tidak menganggap apa yang dilakukan sebagai “kerja” atau “tugas” yang terlalu formal. Saya melakukan semuanya dengan penuh minat. Saya melakukannya kerana saya mahu melakukannya; bukan kerana diarahkan oleh sesiapa.

Saya juga sentiasa berpegang pada kepercayaan saya sendiri bahawa kehadiran saya di kolej adalah demi para pelajar. Mereka memerlukan bimbingan. Mereka memerlukan tempat untuk mengadu. Mereka memerlukan rakan yang memahami. Mereka memerlukan panduan daripada orang yang berpengalaman. Mereka memerlukan orang yang senang diajar berunding. Mereka memerlukan kasih sayang.

Itulah juga sebab mengapa cuti tahunan selama seminggu saya gunakan untuk diluangkan bersama-sama pelajar di Kolej SEGi. Semua kelas/kuliah subjek LAN yang saya ajar telah ditukar ke tarikh lain. Namun, saya tetap berada di kolej untuk membimbing para pelajar saya. Dan saya berasa puas dengan apa yang saya lakukan.

Memanglah ada rakan-rakan sekerja yang mengatakan bahawa saya telah membazir cuti seminggu (6-10 Mac 2006). Bagi saya, tidak begitu. Saya telah melakukan apa yang ingin saya lakukan. Tiada penyesalan.

Anak bongsu saya, Devishi Prabha Sankari, berada di rumah neneknya di Kamunting, Perak. Saya menghubunginya dua hari sekali. Saya tahu bahawa dia berasa seronok tinggal di rumah nenek.

Anak sulung saya, Ganesan Duraisamy, sibuk dengan kerja sambilan serta belajar di Kolej SEGi. Kadang-kadang, kami meluangkan masa untuk membincangkan pelbagai hal berkaitan kolej dan isu semasa. Atau sekadar berbual-bual.

Jadi, saya tidak perlu rasa bersalah kerana tidak berpeluang meluangkan masa bersama-sama anak-anak.

Rakan-rakan penulis serta rakan-rakan editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Karangkraf saya kunjungi dari masa ke semasa. Banyak juga yang sempat kami bincangkan; khususnya merancang aktiviti bahasa dan sastera.

Jadual kerja saya di kolej memang amat padat. Namun, saya mampu menc(u/a)ri masa untuk melakukan apa yang saya inginkan. Tugas menc(u/a)ri masa menjadi lebih mudah kerana apa yang saya lakukan adalah berdasarkan minat yang mendalam. Saya jadikan “kerja” sebagai “minat” atau “hobi”.

Kalau sudah ada minat, tidak timbul soal kita perlu mencuri masa. Apa yang perlu dilakukan hanyalah mencari masa.

Percayalah: memang ada dua puluh empat setengah jam dalam sehari.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:08 JST
Post Comment | Permalink
Thursday, March 16, 2006
Cuti Tahunan & "Tiada Masa"

Pada 6-10 Mac 2006, saya mengambil cuti tahunan; baki cuti yang dibawa ke hadapan dari tahun lalu. Namun, saya tetap berada di Kolej SEGi sepanjang minggu berkenaan.

Satu, menguruskan perpindahan ke bilik khas bagi Jabatan LAN dan Kelab & Persatuan.

Dua, meluangkan masa bersama-sama pelajar yang ingin bertemu saya bagi tujuan pelajaran dan aktiviti kelab/persatuan.

Kalau diperhatikan, sudah beberapa hari saya tidak mengemas kini entri pada diari ini. Saya tidak akan memberikan alasan “sibuk” dan “tiada masa”. Saya secara peribadi “malas” mendengar alasan “sibuk” dan “tiada masa” yang sering diberikan oleh orang yang sebenarnya hanya malas!

Selalu sahaja saya nyatakan kepada rakan-rakan dan pelajar bahawa terdapat dua puluh empat setengah jam (24 jam 30 minit) dalam sehari. Tambahan setengah jam (30 minit) itulah yang saya gunakan untuk menulis, membaca, mengendalikan aktiviti Kavyan dan sebagainya.

Terus sahaja rakan-rakan dan pelajar akan menyelar kenyataan saya. Kata mereka, “Mana ada dua puluh empat setengah jam dalam sehari?”

Maka, terus saya nyatakan bahawa kata-kata mereka adalah benar. Memang dalam sehari ada 24 jam sahaja – bagi setiap orang. Tidak ada orang yang dikurniakan masa tambahan. Terpulang pada kita sendiri untuk merancang masa. Kita yang perlu memperuntukkan masa untuk semua perkara yang mahu kita lakukan.

Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih!

Katakanlah kita suka menonton televisyen. Bukankah sekarangnya ini masa iklan lebih panjang berbanding waktu siaran rancangan kegemaran kita? Maka, gunakan waktu siaran iklan untuk melakukan perkara-perkara yang kita minati. Misalnya, mengirim SMS, membaca petikan cerpen/novel, membaca akhbar, berbual bersama rakan, berbual bersama ahli keluarga, minum dan ke tandas!

Inilah antara saranan yang sering saya berikan kepada rakan-rakan, pelajar dan sesiapa yang bertanya bagaimana saya boleh melakukan pelbagai perkara di kolej dan melalui Kavyan.

Salah satu sebab adalah kerana saya kurang tidur. Maksud saya, saya tidak cuba tidur melebihi lapan jam. Maksimum lapan jam. Kalau tidur lebih lama, pasti kita kehilangan “setengah jam” yang mahu kita gunakan untuk melakukan pelbagai perkara yang ingin kita lakukan.

Pada masa yang sama, sambil sibuk melakukan pelbagai perkara, saya juga tidak terlalu memaksa diri. Misalnya, jika saya terasa penat, saya tidak teragak-agak untuk berhenti rehat. Atau saya akan tidur sekitar 15 minit supaya dapat kembali segar.

Mungkin itu antara petua yang boleh saya kongsi bersama.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:24 WST
Post Comment | Permalink
Sunday, March 12, 2006
Bengkel Cerpen Kavyan di Kati, Kuala Kangsar
Awal pagi 12 Mac 2006 (Ahad), saya, Vicky, Arween, Cheryl Lim, Cikgu Suhaimi dan dua pelajar beliau pergi ke kedai untuk bersarapan. Kami pernah ke kedai yang sama setahun lalu apabila menganjurkan acara Kunjungan Sastera Kavyan. Makanan di sini sedap; dan murah pula.

Selepas makan, kami terpandang botol minuman (minuman botol?) yang sekarang ini hampir tidak kelihatan di Lembah Klang. Ada F&N, Pepsi, Coca Cola dan beberapa lagi. Kalau di Lembah Klang, minuman botol plastik dan tin lebih mudah ditemui, di sini lain pula halnya.

Orang yang datang ke bandar dari kampung sering kita gelar “orang kampung”. Maka, di Kuala Kangsar, kami berempat yang menjadi “orang bandar” yang terpegun melihat pelbagai perkara.

Oh, ya! Vicky membeli 2 botol minuman, saa membeli tiga botol; dan Cikgu Suhaimi juga membeli 3 botol – untuk dijadikan koleksi. Harga minuman: RM1.20 sebotol; harga deposit setiap botol: 15 sen. (Tentulah kami tidak bercadang memulangkan botol untuk mendapatkan semula wang deposit.)

Selepas bersarapan, kami pergi ke SMK Temenggong pukul 8:15 pagi. Seramai 30 pelajar sudah sedia menanti untuk menyertai Bengkel Cerpen Kavyan yang merupakan sebahagian program Kunjungan Sastera Kavyan kali ini.

Semalam, para peserta telah disyaratkan supaya hadir hari ini membawa bahagian awal cerpen yang asli. Cerpen-cerpen itu telah dikumpul dan diserahkan kepada Vicky, Cheryl dan Arween untuk dinilai. Mereka ditugaskan dan diberi kepercayaan membahagikan cerpen-cerpen kepada da kategori: baik dan kurang baik.

Sementara itu, saya mengendalikan bengkel cerpen dengan bertanya berapa ramai yang suka menulis cerpen (semua), berapa ramai yang pernah menulis (hampir tujuh peserta), berapa ramai yang karya mereka pernah tersiar (dua peserta) … Kemudian, bagi peserta yang belum pernah menulis, saya meminta mereka memberikan alasan.

Antara alasan yang diberikan adalah: tiada masa, sibuk, tidak tahu menulis … Lalu, saya gunakan segala isi berkenaan untuk memberi panduan dan cara menulis cerpen. Saya yakin dan percaya bahawa panduan bersahaja yang saya berikan mampu memberi kesan terhadap para peserta.

Seterusnya, cerpen-cerpen yang dinilai sebagai “baik” telah saya bacakan. Peserta diminta mengundi jika mereka suka akan bahagian awal cerpen yang dibacakan itu. Hasilnya, lima cerpen terbaik dipilih (secara undian peserta sendiri) dan diberi hadiah oleh Cikgu Suhaimi.

Persebudaya SMK Temenggong bercadang mengadakan bengkel secara lebih intensif dengan penyertaan oleh pelajar yang benar-benar berminat serta mampu menyerahkan manuskrip cerpen lebih awal untuk dibedah. Juga peserta yang tidak akan memberi alasan “sibuk”, “tiada masa”, “tiada bahan” dan seumpamanya.

Sama-sama kita mengharapkan yang terbaik!

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:13 JST
Post Comment | Permalink
Saturday, March 11, 2006
Apresiasi Sastera Remaja di Kati, Kuala Kangsar
Awal pagi, selepas menjemput Vicky, saya ke Stesen Komuter Subang Jaya untuk menjemput Arween. Kemudian, kami pergi menjemput Cheryl Lim di hadapan Kolej SEGi.

Destinasi kami pada 11 Mac 2006 (Sabtu) adalah ke SMK Temenggong, Kati, Kuala Kangsar, Perak. Banyak perkara yang kami bualkan sepanjang perjalanan. Cheryl yang pemalu juga mula bercakap sedikit. Siapa sangka Cheryl dan Arween ada pengalaman serta bakat dalam bidang lakonan dan nyanyian!

Kami berempat tiba di SMK Temenggong sekitar 10:30 pagi dan disambut oleh Cikgu Suhaimi Haji Ahmad selaku penyelaras Persebudaya. Sekitar 63 pelajar nampaknya telah hadir seawal 9:00 pagi untuk mengikuti Apresiasi Sastera Remaja! Turut hadir ialah wakil-wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dan Karyawan Pk.

Adik saya, Hemantha Kumar, yang bertugas sebagai penyunting berita radio (Tamil) di RTM menelefon untuk mendapatkan maklumat acara. Katanya, dia mahu memasukkan laporan ringkas aktiviti Apresiasi Sastera Remaja sebagai bahan berita di Minnal.fm (Tamil) pada pukul 1:00 tengah hari.

Saya menerima peluang yanag ditawarkan itu dengan penuh gembira. Maka, sedikit laporan bersuara dirakam melalui telefon untuk siaran.

Acara bermula pada pukul 11:30 pagi dengan slot suai kenal dan maklumat majalah-majalah terbitan DBP. Nampaknya majalah-majalah terbitan DBP belum cukup dikenali di kawasan ini; juga sukar didapati di kedai-kedai.

Majlis berhenti berehat sekitar pukul 12:30 tengah hari. Kami semua yang datang dari Lembah Klang terasa amat seronok menikmati masakan tradisional yang sungguh enak. Tambahan pula, Cikgu Suhaimi menyediakan bubur lambuk menggunakan resepi rahsia beliau!

Tepat pukul 1:00 tengah hari, saya mendengar Minnal.fm di dalam kereta. Berita yang dirakam oleh Kumar tadi disiarkan. Suatu promosi bagi program Apresiasi Sastera Remaja anjuran Kavyan, DBP dan Persebudaya.

DENGAR

Selepas itu, Arween, Cheryl dan Vicky membantu saya membuat persiapan bagi acara Baca Cerpen Tunas Cipta 7. Sekumpulan pelajar kaum India dari SMK Temenggong turut tampil menawarkan diri untuk membantu. Kami memasukkan majalah, buku (novel/cerpen) dan buku nota ke dalam beg DBP sebagai cenderamata.

Pendaftaran peserta Baca Cerpen Tunas Cipta 7 dimulakan pada pukul 2:00 petang. Peserta diberi cenderamata dan teks cerpen untuk membuat persiapan. Jumlah keseluruhan peserta adalah 70 orang.

Tepat pukul 3:00 petang … Dari SMK Temenggong, Kati, Kuala Kangsar, Perak … Pertubuhan Sasterawan Kavyan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempersembahkan Baca Cerpen Tunas Cipta 7. …

Selepas acara, kami semua merakamkan foto secara berkumpulan. Arween diserbu ramai peminat untuk mendapatkan tanda tangan. Saya juga seronok melihat wakil Kolej SEGi, Kolej SIT dan pelajar SMK Temenggong bergaul mesra. Semoga pertemuan dan aktiviti yang dijalankan ini membawa kebaikan; khususnya dalam memartabatkan Bahasa Malaysia, membudayakan baca cerpen dan memasyarakatkan sastera.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:41 JST
Post Comment | Permalink
Friday, March 10, 2006
Anugerah Seri Angkasa 2005

Saya dan Ayya (panggilan manja bagi anak saya, Ganesan Duraisamy) telah memenuhi undangan Jawatankuasa Nasional Anugerah Seri Angkasa untuk menyaksikan “Anugerah Seri Angkasa 2005” pada 10 Mac 2006 (Jumaat), 8:00 malam di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Sesungguhnya ini kali pertama kami berdua menghadiri malam gemilang anugerah rasmi negara ini; juga kali pertama menjejak kaki ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Berpandukan laluan ke Menara KLCC, kami berjaya sampai tanpa masalah – kecuali tentunya jalan penuh sesak dari Shah Alam ke Kuala Lumpur!

Syarat pakaian yang tercatat pada kad undangan adalah sut lengkap hitam bagi lelaki dan pakaian formal bagi wanita. Kami berdua memastikan syarat itu dipenuhi kerana kami tidak mahu menjadi tetamu yang tidak tahu membaca syarat yang sudah ditetapkan. Namun, seperti yang dapat diduga, tidak semua tetamu yang nampaknya tahu membaca syarat/peraturan yang tertera pada kad undangan.

Majlis Penyampaian Anugerah Seri Angkasa disiarkan secara langsung melalui beberapa stesen televisyen pada pukul 9:00 malam. Pasti ada iklan. Apa yang berlaku semasa siaran iklan? Di Dewan Plenary, dua wanita akan memegang sepanduk bertulis “Kita berehat sebentar” (atau lebih kurang begitu) dan berjalan dari kiri ke kanan (atau kanan ke kiri).

Pada masa itu, ada sedikit persembahan nyanyian di pentas. Saya dan Ayya berpendapat bahawa si penyanyi terbabit adalah bintang muda kerana tidak diberi peluang muncul di kaca televisyen – hanya menyanyi di hadapan penonton di auditorium.

Masa iklan juga digunakan oleh ramai tetamu di dewan untuk ke tandas; sehingga saya mula berfikir apa perlunya mereka pergi ke tandas begitu kerap. Atau mungkin ada agenda lain bagi mereka?

Apabila siaran iklan (di TV) hampir tamat, dua wanita yang saya nyatakan tadi akan berjalan lagi sambil memegang sepanduk bertulis “Kita kembali bersama” (atau lebih kurang begitu). Jika anda mahu tahu siapa dua wanita itu … merekalah juga yang bertugas sebagai pengiring kepada para penerima anugerah yang berjalan dari tempat duduk ke tangga pentas.

Saya dan Ayya berbisik, mungkin kedua-dua wanita ini pada mulanya diberitahu bahawa mereka menjadi pengiring kepada penerima anugerah. Setelah mereka bersetuju dengan penuh gembira, barulah mereka diberitahu bahawa mereka juga perlu berjalan memegang sepanduk!

Acara tamat pukul 11:00 malam. Selepas itu, kami ke jamuan lewat malam (supper) yang disediakan.

Mungkin sahaja kami bukan peminat artis dan majlis penyampaian anugerah. Namun, kami tetap berasa gembira kerana berpeluang memenuhi undangan rasmi serta berpeluang pula menimba pelbagai ilmu dan pengalaman.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:25 WST
Post Comment | Permalink
Thursday, March 9, 2006
Kelab Seni & Sastera

Saya gembira melihat penglibatan aktif ahli Kelab Seni & Sastera (KSS) Kolej SEGi dalam pelbagai aktiviti di dalam dan di luar kolej. Mereka bersikap proaktif dan sedia merancang pelbagai aktiviti.

Hari ini, 9 Mac 2006, ada perjumpaan KSS yang dipengerusikan oleh Presiden KSS, Fara Suhaila Borhan. Saya selaku Penyelaras Kelab dan Persatuan hadir sebagai pemerhati. Perjalanan perjumpaan dirancang dengan baik. Saya juga gembira apabila rata-rata ahli KSS menggunakan Bahasa Malaysia. Jika berlaku penggunaan Bahasa Inggeris, segera mereka melakukan pembetulan.

Dalam pada itu, saya perhatikan sikap pelajar/remaja secara umum yang belum tahu etika dan tatacara menghadiri perjumpaan atau mesyuarat rasmi. Masih ramai yang merasakan tidak perlu menghadiri mesyuarat/perjumpaan. Tidak kurang juga yang datang lewat.

Suatu sikap buruk yang selalu berlaku (bukan di KSS tetapi secara umum) adalah ahli kelab/persatuan yang hadir lewat tidak akan tahu apa yang sedang dibincangkan. Lebih buruk lagi apabila mereka mula mengganggu rakan-rakan di sisi untuk mendapatkan “ringkasan” mengenai perkara-perkara yang sudah dibincangkan pada mesyuarat/perjumpaan.

Disiplin dan etika juga perlu diberi perhatian. Semasa mesyuarat/perjumpaan, hanya SEORANG bercakap pada suatu masa. Nampaknya generasi muda (malah generasi tua!) tidak faham akan syarat yang amat mudah ini. Natijahnya, perjalanan mesyuarat/perjumpaan menjadi tidak ubah seperti pasar malam!

Mujurlah Jawatankuasa KSS masih mempunyai kemampuan untuk bersikap proaktif, rajin, kreatif dan tahu etika mesyuarat. Presiden juga perlu lebih tegas bagi memastikan perjalanan mesyuarat/perjumpaan tidak terganggu oleh apa-apa atau sesiapa. Untuk itu, Presiden dan Setiausaha perlu membuat persediaan awal.

Para ahli kelab/persatuan perlu tahu membezakan antara kedudukan di luar mesyuarat dan semasa mesyuarat. Mesyuarat adalah suatu aktiviti rasmi dan perlu diminitkan. (Setiausaha: sila ambil catatan mengenai perkara ini!) Semasa mesyuarat, kita perlu bersikap profesional dan datang dengan segala persediaan.

Kita menghadiri mesyuarat/perjumpaan rasmi dan bukannya pergi berkelah atau berbual-bual di kedai kopi. Kita tahu berdisiplin dan beretika. Ingat: hanya SEORANG bercakap pada suatu masa. Dalam hal ini, Kavyan telah merangka Etika Mesyuarat yang wajib dipatuhi oleh sesiapa yang menghadiri mesyuarat.

Saya selalu memberitahu pelajar saya: peluang menimba pengalaman di sekolah menengah dahulu tidak dapat diubah. Sekurang-kurangnya gunakanlah peluang di kolej sekarang untuk menimba pengalaman sebenar tentang cara mengendalikan aktiviti dan mesyuarat.

Semua ini adalah demi kebaikan anda; bukan untuk saya.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:26 WST
Post Comment | Permalink
Wednesday, March 8, 2006
Kita Belajar Setiap Hari

Saya sempat meluangkan masa bersama-sama anak saya, Ganesan. Banyak perkara yang kami bincangkan memandangkan kami berdua boleh berbincang secara terbuka. Politik, ekonomi, sosial, pendidikan, filem, hiburan dan bermacam-macam lagi.

Di Kolej SEGi, Ganesan bertandang ke bilik baru saya di tingkat satu. Kami berdua belajar menggunakan program Microsoft Excel untuk membuat carta. Kameswaran dan Giggs (Jonathan) memberi tunjuk ajar. Terima kasih!

Jawatankuasa Indian Cultural Society (ICS) mengadakan mesyuarat bersama-sama penasihat, Encik Sri. Selaku penyelaras bagi semua kelab dan persatuan, saya hadir sama untuk mengetahui perkembangan aktiviti ICS. Sempat juga saya berikan komen terbuka hasil pemerhatian saya sejak 8 Februari 2006. Pasti teguran dan komen saya agak pedas. Namun, semuanya demi kebaikan.

Beberapa ahli jawatankuasa Kelab Seni & Sastera (KSS) bertemu saya untuk membincangkan perihal pertemuan KSS yang dijadualkan esok. Saya seronok melihat semangat dan kesungguhan yang mereka tunjukkan. Kami juga sempat berbincang serba-sedikit tentang program di Kati, Kuala Kangsar pada hujung minggu ini.

Beberapa hari lalu, saya ada memberi teguran secara bertulis kepada pihak Student Council (Majlis Perwakilan Pelajar) berikutan kesalahan Bahasa Inggeris yang amat ketara pada poster yang dilekat. Berikut petikan surat saya kepada penasihat:


We at SEGi College are trying our best to give students the real experience through Clubs & Societies. Members of the Student Council are expected to be a role model to other students in every aspect.

As you are aware, since January 2006, I have been appointed as Coordinator for all the clubs and societies; and the Student Council.

The Management of SEGi College is trying to uplift the proper use of English and Bahasa Malaysia; both in the classroom and out of the classroom. I have made it compulsory for all notices and posters to be approved by the Advisor(s) before it is posted and/or distributed; to minimize mistakes and errors.

It has come to my attention that one of the posters prepared by the Student Council is not in line with the proper use of English. This has been pointed out to me by staff and students alike.

Therefore, I sincerely request your cooperation in advising the Student Council members on the proper use of English in the future. Your cooperation is very much appreciated.



Saya gembira kerana mereka menerima teguran saya secara positif. Kita belajar setiap hari; setiap masa. Teguran yang membina, kita terima demi kebaikan bersama.

Posted by uthayasb at 18:37 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:26 WST
Post Comment | Permalink
Tuesday, March 7, 2006
Bahasa Malaysia di Kolej Optima
Kelas LAN1001-Bahasa Malaysia di Kolej Optima, Subang Jaya yang bermula hari ini cukup bermakna bagi saya. Setelah mengajar subjek ini sejak tahun 1999, buat kali pertama saya berpeluang berhadapan dengan pelajar yang majoriti berasal dari negeri Sabah.

Saya berterus-terang kepada mereka bahawa saya merasakan diri saya amat bertuah berada di kelas berkenaan kerana akan mendapat peluang untuk mengenali budaya penduduk negeri Sabah secara lebih mendalam dan secara langsung.

Pelajar di kelas berkenaan juga ternyata cukup selesa berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Ternyata penguasaan bahasa mereka lebih baik berbanding majoriti pelajar dari Semenanjung Malaysia. Pada masa yang sama, sebutan mereka juga lebih keIndonesiaan.

Antara pelajar Kolej Optima yang saya ingat nama mereka ialah Mariam (Kak Yam), Kurnia Setiawan (Wan), Amri, Masran, Ani dan Niza. Telah juga saya nyatakan kepada mereka bahawa mungkin saya akan lupa nama mereka tetapi saya akan cam wajah mereka jika kami bertemu pada masa hadapan. Harapan saya, apabila bertemu selalu di kelas, saya akan mampu menghafaz nama mereka.

Menyampaikan kuliah Bahasa Malaysia kepada kumpulan pelajar ini juga amat menyeronokkan kerana mereka menunjukkan minat yang mendalam. Memanglah mereka tidak mendapat kredit bagi subjek Bahasa Melayu/Malaysia peringkat SPM; tetapi itu tidak bermakna penguasaan bahasa mereka tidak baik.

Sempat kami berbual tentang bahasa dan sastera. Kak Yam mengatakan bahawa beliau suka membaca karya Ramlee Awang Murshid, penulis dari Negeri Di Bawah Bayu. Maka, saya katakan bahawa saya akan mengusahakan agar novel pengarang Sabah itu dijadikan teks Baca Novel dan lakonan drama bagi kumpulan pelajar ini.

Kami juga berbual tentang Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said. Mereka semua kagum dengan penulisan beliau. Apabila ditanya adakah mereka ingin bertemu beliau, pelajar terbabit menunjukkan minat yang membanggakan. Lalu, saya katakan bahawa mungkin kita boleh mengatur pertemuan dengan Pak Samad bagi tujuan mewawancara beliau untuk tugasan kelas.

Pelajar Kolej Optima mengkhusus dalam jurusan perhotelan. Lalu, kami bercakap mengenai kepentingan Bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, saya secara peribadi menegaskan bahawa jika kita menggunakan Bahasa Inggeris, biarlah kita menggunakan Bahasa Inggeris yang betul. Begitu juga, apabila menggunakan Bahasa Malaysia, biarlah kita menggunakan Bahasa Malaysia yang betul.

Kelas dikendalikan dalam suasana penuh santai; sambil memastikan topik-topik yang perlu dibincangkan pada kelas pertama tetap diliputi. Cik Rachel, penyelaras di kolej berkenaan, juga sempat “berkunjung” beberapa kali dan berbual dengan para pelajar menggunakan Bahasa Malaysia yang cukup fasih.

Sama-sama kita martabatkan Bahasa Malaysia!

Posted by uthayasb at 17:34 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:48 JST
Post Comment | View Comments (5) | Permalink
Monday, March 6, 2006
Bilik Penyelaras LAN, Persatuan dan Kelab
Pada 6 Mac 2006, saya ke RTM untuk mengulas akhbar sebelum ke Kolej SEGi. Sebenarnya, sepanjang minggu ini saya mengambil cuti tahunan; bagi menghabiskan baki cuti tahunan yang dibawa dari tahun lalu.

Namun, saya masih ke kolej kerana beberapa pelajar ingin bertemu saya untuk membincangkan perihal aktiviti Kelab Seni & Sastera (KSS) dan Indian Cultural Society (ICS); memandangkan saya penyelaras bagi semua kelab dan persatuan di Kolej SEGi Subang Jaya.

Satu lagi tujuan kedatangan saya adalah untuk menguruskan perpindahan saya ke bilik sendiri (sebenarnya perlu dikongsi bersama-sama seorang lagi staf pada masa akan datang) di tingkat satu. Timbul sedikit masalah kerana barang-barang Student Council masih disimpan di bilik berkenaan; dan Presidennya mengatakan dia tidak dapat datang hari ini.

Maka, saya pindahkan sendiri barang-barang mereka ke bilik lain yang terletak dua pintu sahaja jauhnya. Sempat juga Izzed datang membantu. Mujur juga kerana tidak banyak barang.

Selepas itu, Izzed dan Fara membantu saya memindahkan barang-barang saya dari tingkat sepuluh ke tingkat satu.

Maka, secara rasmi, saya duduk di tingkat satu Kolej SEGi Subang Jaya; berdekatan kafeteria dan tempat aktiviti pelajar. Tempat ini cukup baik kerana mudah untuk pelajar datang bertemu saya; sama ada bagi tujuan pelajaran (LAN) atau bagi urusan kelab dan persatuan.

Terima kasih kepada pihak pengurusan Kolej SEGi yang menyedari keperluan untuk saya memiliki tempat duduk yang tetap di suatu tempat yang mudah diakses oleh para pelajar. Saya katakan begini kerana di tingkat sepuluh, sukar untuk pelajar masuk ke kaunter untuk bertemu saya. Lebih teruk lagi jika di bilik pensyarah di tingkat lima pelajar tidak dibenarkan masuk langsung ke kawasan itu.

Mulai sekarang, saya percaya bahawa pelajar boleh menarik nafas lega kerana tidak akan menghadapi masalah untuk “mencari” dan “mengesan” saya. Mudah sahaja: datang ke tingkat satu Kolej SEGi Subang Jaya.

Mudah juga jika saya menerima kunjungan rakan-rakan sasterawan dan wartawan. Tidak perlu saya memikirkan ke mana mahu saya bawa mereka untuk mengadakan perbincangan atau wawancara.

Dengan kemudahan bilik di tingkat satu juga, saya percaya bahawa akan lebih mudah untuk saya memantau aktiviti pelajar di sekitar kawasan rekreasi dan kafeteria.

Sudi-sudilah berkunjung ke bilik saya – cuti tahunan selama seminggu ini tidak bermakna saya tidak akan berada di kolej.

Posted by uthayasb at 19:33 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 12:56 JST
Post Comment | Permalink
Sunday, March 5, 2006
PIBG dan Apresiasi Sastera Kanak-kanak

Fara dan Izzed dari Kelab Seni & Sastera (KSS) Kolej SEGi menyertai saya pada acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak di SJK (T) Vivekananda, Jalan Templer, Petaling Jaya pada 5 Mac 2005 (Ahad). Turut sama, wartawan Dewan Pelajar, Sdr Ariffin Yasin.

Suatu perkara yang nyata kami perhatikan di sekolah ini adalah tentang penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Awal pagi, wakil PIBG sudah berada di sekolah untuk menyambut kedatangan kami; walaupun rata-rata murid hanya datang selepas itu.

Pada acara kali ini, peserta berpeluang menunjukkan bakat membaca petikan cerita “Gelang Kaki Kannagi” (Dewan Pelajar, Januari 2006) secara bergilir-gilir. Fara, Izzed dan saya turut memberi demonstrasi bacaan dalam usaha menggalakkan peserta membuat persembahan lebih bermutu.

Suatu lagi aktiviti yang mendapat sambutan hangat para peserta adalah nyanyian lagu “Rasa Sayang”. Walaupun ada peserta yang belum pernah menyanyikan lagu itu, mereka mampu mempelajarinya setelah diajar sekali sahaja. Maka, riuhlah apabila mereka menyanyi beramai-ramai!

Sambutan dan layanan yang diberi oleh wakil PIBG juga cukup menggembirakan. Mereka hadir sama dari mula hingga akhir acara. Mereka turut menyarankan agar acara seperti ini diadakan lagi dalam usaha menggalakkan minat membaca serta penggunaan Bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah Tamil.

Pada acara ini, Fara dan Izzed turut memperkatakan mengenai aktiviti anjuran Kelab Seni & Sastera Kolej SEGi; serta menggalakkan murid-murid mengamalkan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian.

Selesai acara, Fara dan Izzed umpama artis kerana diserbu murid-murid yang mahu mendapatkan tandatangan mereka berdua. Saya pula berjaya mengelak kerana sibuk berbual dengan wakil PIBG.

Sempat juga seorang guru lelaki bertemu saya dan mengatakan bahawa beliau membaca kumpulan cerpen Siru Kambam sewaktu di sekolah dahulu; dan beliau tidak menyangka akan berpeluang bertemu si penulis pada acara ini.

Dalam perjalanan pulang dari SJK (T) Vivekananda, kami berempat (Sdr Ariffin, Fara, Izzed dan saya) mengakui bahawa sambutan yang diberikan kali ini amat menggembirakan. Walaupun guru besar tidak hadir, “kekosongan” itu mampu diisi oleh wakil PIBG yang cukup berminat terhadap perkembangan murid-murid.

Betapa bagus jika setiap sekolah “dikurniakan” PIBG seperti ini. …

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:28 WST
Post Comment | Permalink
Saturday, March 4, 2006
Selamat Hari Jadi, Sayang
Hari ini genap empat tahun usia Devishi Prabha Sankari, puteri kesayangan saya.

Selepas ke RTM untuk ulasan akhbar Selamat Pagi Malaysia, saya memandu ke Kolej SEGi kerana ada “Breakfast Talk”. Dalam perjalanan, saya sempat menelefon Devishi yang kini berada di rumah neneknya di Kamunting, Perak.

Walaupun baru sekitar dua minggu dia di sana, rindu semakin menebal; apatah lagi hari ini hari ulang tahun kelahirannya. Tahun lalu, sempena hari jadi ketiga, kami sempat adakan jamuan kecil di rumah. Kali ini, neneknya telah menempah kek dan membelikan baju baru; kata Devishi kepada saya.

Mungkin Devishi belum sepenuhnya memahami konsep hari jadi; sebaliknya sekadar untuk meniup lilin dan memotong kek. Biarlah kanak-kanak menikmati alam kanak-kanak tanpa sebarang sekatan.

Walaupun baru berusia empat tahun, Devishi cukup pintar. Penguasaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil cukup membanggakan. Begitu juga kemampuan membaca dan mengira. Ibunya, Prabhawathy Govindarajoo, tekun mengajarnya selalu.

Ramai juga yang bertanya mengapa Devishi tidak dihantar ke Tadika. Jawapannya cukup mudah: apa perlunya menghantar Devishi ke Tadika jika ilmu yang sama (jika pun tidak lebih) mampu diberi di rumah? Tambahan, apabila sudah memulakan persekolahan, selama bertahun-tahun lamanya Devishi akan bersekolah. Maka, biarlah dia menikmati zaman kanak-kanaknya sekurang-kurangnya sehingga berumur enam tahun.

Berbalik pada cerita hari jadi, bagi saya secara peribadi, sambutan ulang tahun hari kelahiran bukan sesuatu yang penting. Saya berpendapat bahawa jika seseorang individu tidak melakukan apa-apa yang hebat sejak setahun lalu, tidak ada apa-apa yang perlu diraikan.

Sebaliknya, dalam tempoh setahun lalu, jika individu itu telah melakukan sesuatu yang membanggakan, ada sebab untuk meraikan kejayaan itu. Akan tetapi, ternyata ramai yang tidak sependapat dengan saya dalam hal ini. Bagi mereka, hari jadi wajib diraikan – sekurang-kurangnya rakan-rakan, kenalan dan kaum-keluarga semacam wajib mengingat tarikh lahir kita dan mengucapkan “selamat hari jadi”.

Jangan harapkan semua itu daripada saya – kerana saya melihat pada sumbangan dan kejayaan seorang individu sejak ulang tahun kelahirannya pada tahun lalu sehingga ulang tahun kelahiran pada kali ini. Jika tidak ada apa-apa kemajuan, sumbangan atau kejayaan yang layak diraikan, tidak perlu saya membazir masa dan tenaga mengucapkan “selamat hari jadi”.

Atau mungkin saya wajar memberi ucapakan begini: “Selamat hari jadi. Tahniah kerana anda telah hidup setahun lagi di dunia ini tanpa sebarang perubahan, sumbangan dan kejayaan dalam hidup.”

Posted by uthayasb at 18:02 WST
Updated: Tuesday, April 18, 2006 08:40 JST
Post Comment | Permalink
Friday, March 3, 2006
Pelajar Sebagai Rakan
Selalu juga saya disangka pelajar – mungkin kerana rupa fizikal. Mungkin juga kerana saya lebih sering meluangkan masa bersama-sama pelajar di Kolej SEGi, Kolej Antarabangsa SIT dan Kolej The One Academy; berbanding bersama-sama pensyarah dan staf kolej.

Subjek Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia yang saya ajar memang memerlukan saya untuk sering bertemu pelajar di dalam dan di luar kelas. Sering juga pelajar datang bertemu saya untuk membincangkan tugasan dan projek.

Ada pula masanya pelajar datang berjumpa saya sekadar untuk berbual-bual serta berkongsi kisah; pengalaman di kolej dan di luar kolej. Saya sering menjadi pendengar dan pendamping.

Sering juga rakan-rakan sekerja bertanya bagaimana saya boleh begitu rapat dengan para pelajar dari pelbagai jabatan. Jawapannya agak mudah: saya mengajar subjek LAN bagi pelajar dari semua jabatan di kolej terbabit.



Selain daripada itu, saya juga tidak mengasingkan diri daripada pelajar. Saya suka meluangkan masa bersama-sama mereka. Menurut mereka, saya memang senang didekati dan diajar berbincang. Saya bergaul dengan semua tanpa mengira kaum, agama, umur dan kewarganegaraan.

Namun, pada masa yang sama, para pelajar saya juga tahu bahawa saya seorang pensyarah yang tegas. Saya amat rapat dengan pelajar di luar kelas tetapi apabila menangani perkara-perkara berkaitan tugasan kelas, saya amat tegas. Jika tugasan tidak diserah pada masa yang ditetapkan, pelajar perlu menanggung risiko.

Saya juga sentiasa bersedia untuk belajar daripada para pelajar. Segala pengetahuan dunia siber adalah daripada pelajar. Saya tidak suka menyombong dan menganggap saya tahu semua.Kalau saya tidak tahu, saya akan mengaku tidak tahu – dan bersedia untuk belajar daripada pelajar.

Bahasa Mandarin/Kantonis/Hokkean juga saya pelajari daripada pelajar saya di beberapa kolej. Rata-rata, saya berpeluang belajar sepatah perkataan setiap minggu! Sebab itulah juga saya selalu memberitahu pelajar saya pada awal semester bahawa kalaulah sekalipun mereka tidak berminat untuk belajar, sekurang-kurangnya saya bersedia untuk belajar sesuatu daripada mereka.

Saya juga sentiasa menegur pelajar apabila mereka mencemarkan Bahasa Malaysia dan/atau Bahasa Inggeris dalam perbualan dan/atau tulisan. “Jangan mencemar dan membunuh bahasa saya,” kata saya sentiasa.

Sering juga saya katakan bahawa kehadiran saya ke kolej adalah demi para pelajar. Tanpa mereka, apa yang akan saya lakukan setiap hari di kolej? Saya menerima mereka seadanya; sebagaimana mereka menerima saya seadanya.

Cuma satu syarat yang saya letakkan: jangan panggil saya “cikgu” atau “teacher”.

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 13:13 JST
Post Comment | Permalink
Thursday, March 2, 2006
Selamat Pagi Malaysia

Gelas bukan sebarang gelas,
Gelas dari intan berkaca;
Ulas bukan sebarang ulas,
Niat pupuk minat membaca.


Sudah setahun sebulan saya menjadi pengulas akhbar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (RTM, TV1). Hubungan saya dengan RTM bukan baru kerana saya pernah menjadi penyunting berita TV (Bahasa Malaysia) dari 1996 hingga 2002.

Maka, apabila saya ditawarkan menjadi pengulas akhbar SPM mulai Februari 2005, saya menerima peluang itu dengan gembira. Saya juga terharu dengan kepercayaan yang diletakkan pada kemampuan serta penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki. Maklumlah, mengulas akhbar tidak sama dengan membaca berita.

Pengalaman saya mengulas akhbar selama lebih setahun cukup menarik. Banyak yang saya pelajari. Bagi saya, setipa hari, ada sahaja perkara baru yang dipelajari. Sekurang-kurangnya, peluang mengetahui perkembangan terbaru melalui akhbar. Saya meneliti akhbar bukan sekadar sebagai membereskan tugas di RTM tetapi kerana minat membaca dan ingin mengetahui perkembangan semasa.

Mulai Januari 2006, saya menjadi pengulas “veteran” kerana dua lagi pengulas merupakan orang baru. Saya mendapat peluang memberi sedikit tunjuk-ajar. Bukan kerana saya pandai tetapi sekadar berkongsi pengalaman dan teknik bekerja. Terima kasih kepada Nisha dan Gina yang sedia menerima teguran dan komen yang saya beri; secara lisan atau melalui SMS. Terima kasih juga kepada semua anggota krew SPM yang selalu bersedia membimbing dan memberi teguran.

Sebagai pengulas akhbar, saya berpeluang mengemukakan ulasan dan komen terhadap berita-berita yang tersiar di akhbar. Untuk itu, saya perlu berpegang pada etika, peraturan, polisi dan bermacam-macam lagi. Dan tentunya perlu ada ilmu bantu dan maklumat hasil daripada pembacaan.

Selain itu, saya juga cuba menampilkan gaya persembahan sendiri dengan membaca pantun. Hasilnya cukup menggembirakan. Ada juga penonton dan rakan-rakan yang mengirim pantun. Mana yang sesuai, saya bacakan. Itu antara sumbangan saya bagi memartabatkan sastera tradisional dan Bahasa Malaysia.

Kemunculan di kaca televisyen juga saya gunakan sebagai peluang untuk mempromosi pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Apa salahnya kita tolong promosi aktiviti yang memang membawa manfaat kepada orang ramai.

Sejak muncul sebagai pengulas akhbar, lebih ramai mengenali saya. Malah, ada masanya saya merasakan bahawa lebih ramai mengenali saya sebagai “pengulas akhbar” daripada sebagai “sasterawan” atau “pensyarah”!

Namun begitu, tidak menjadi masalah. Sebagai sasterawan, biarlah karya saya dikenali pembaca. Sebagai pensyarah, biarlah ilmu yang disampaikan sampai kepada pelajar. Sebagai pengulas akhbar, biarlah khalayak umum dapat menyaksikan sendiri bahawa sesungguhnya saya pencinta dan pejuang Bahasa Malaysia!

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Sunday, April 9, 2006 13:21 JST
Post Comment | Permalink
Wednesday, March 1, 2006
Pelajar Kolej dan Aktiviti Berpersatuan



Di Kolej SEGi Subang Jaya, saya diberi kepercayaan untuk menjadi penyelaras bagi kesemua kelab dan persatuan yang melibatkan pelajar di kolej ini. Saya menganggap tugas yang diberikan ini sebagai suatu tanggungjawab yang selari dengan minat saya.

Pada peringkat awal, semasa diadakan perjumpaan bersama-sama pelajar pada 8 Februari 2006, sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan. Ada pelajar yang mahu menubuhkan kelab/persatuan baru berdasarkan minat mereka. Saya menerima cadangan mereka dengan hati terbuka.

Dalam hal penubuhan kelab/persatuan, saya dan Encik K C Lee, Pengetua Kolej SEGi sependapat; iaitu pelajar harus diberi peluang seluas-luasnya untuk memilih kelab/persatuan yang mereka minati.

Maka lahirlah pelbagai kelab/persatuan – yang sedia wujud serta yang baru diwujudkan. Masing-masing kelab/persatuan mempunyai penasihat; manakala saya berperanan menjaga dan menyelaras kesemua kelab/persatuan.

Antara kelab/persatuan yang cukup aktif adalah English Language Society (ELS) dan Kelab Seni & Sastera (KSS). Dancing Club yang baru ditubuhkan juga menunjukkan potensi yang baik kerana diteraju pelajar yang berminat.

Dalam pada itu, ada juga kelab/persatuan yang hidup segan, mati tak mau! Kenyataan ini bukan bertujuan menjatuhkan nama Kolej SEGi. Sebaliknya adalah kenyataan umum dan bersifat pandangan peribadi saya.

Dalam berpersatuan, saya suka mengamalkan disiplin. Khususnya, menepati masa dan mengamalkan etika pertemuan/perjumpaan/mesyuarat. Misalnya, saya memanggil mesyuarat bagi kesemua presidenkelab/persatuan pada 11:15 pagi, 1 Mac 2006. Mesyuarat telah saya tetapkan akan tamat pada 11:45 pagi.

Ada beberapa individu yang datang menepati masa kerana menyedari kepentingan menepati masa. Namun, ada juga yang datang lewat lebih 15 minit. Kedatangan pula ternyata sekadar untuk memenuhi syarat; hadir tanpa sebarang persediaan.

Semua ini membuatkan saya berfikir, apakah pelajar kolej sekarang tidak berminat dalam aktiviti berpersatuan? Atau mereka sekadar mahu berpersatuan tanpa mahu mengamalkan etika dan peraturan berpersatuan? Misalnya, mengendalikan mesyuarat, menulis minit mesyuarat, membuat promosi aktiviti, etika bermesyuarat, merancang aktiviti dan menulis surat rasmi.

Hasil pertemuan dengan beberapa guru sekolah menengah mendapati bahawa sikap yang hampir sama menular di sekolah; pelajar kurang terlibat dalam menangani persatuan/kelab – sehingga guru-guru sendiri yang sebenarnya menjalankan tugas dan tanggungjawab jawatankuasa persatuan!

Pada peringkat kolej, pelajar terbabit tidak mempunyai persediaan dan pengalaman yang secukupnya untuk meneraju persatuan/kelab. Perkembangan ini amat menyedihkan dan membimbangkan.

Kita mengharapkan agar pelajar belajar dan menimba ilmu berkaitan dunia sebenar; termasuk dalam berpersatuan. Bayangkan apa akan berlaku jika kumpulan pelajar yang tidak ada sifat kepimpinan dan pengalaman mengendalikan persatuan/kelab menyertai kelab/persatuan dalam masyarakat. Tanpa pengalaman, tanpa keyakinan diri, tanpa pendedahan, tanpa tahu menulis laporan, tanpa tahu menulis surat rasmi, tanpa tahu penggunaan bahasa dan tanpa bermacam-macam lagi.

Bayangkan realiti ini: merekalah bakal pemimpin negara ini!

Mujurlah, masih ada pelajar yang menunjukkan minat untuk belajar. Mereka rajin berbincang dan menimba ilmu. Mereka sedia menyertai aktiviti anjuran Kavyan untuk belajar. Mereka mendapat pengalaman sebenar kerana kesemua aktiviti Kavyan adalah “sebenar”, bukan “olok-olok”.

Kami di Kolej SEGi Subang Jaya mahu memberikan yang terbaik kepada pelajar dalam berpersatuan. Namun, akhirnya, tanpa kesungguhan dan minat para pelajar, tiada apa yang boleh dilakukan.

Haruskah saya menangisi realiti ini?

Posted by uthayasb at 16:22 WST
Updated: Wednesday, March 1, 2006 16:32 WST
Post Comment | Permalink
Tuesday, February 28, 2006
Sekali Menulis, Terus Menulis!

Memanglah benar kata-kata bahawa seseorang yang mengaku dirinya penulis harus terus menulis; tanpa menafikan pula keperluan untuk membaca serta menimba ilmu.

Bagi saya, secara peribadi, saya tidak boleh hidup tanpa membaca dan menulis. Misalnya, apabila ke rumah sanak-saudara dan rakan-rakan, saya akan merasa “kehilangan” sekiranya tidak terdapat bahan bacaan di sana.

Benar, saya juga suka menonton filem (khususnya filem Inggeris dan Tamil; apatah lagi jika diadaptasi dari novel!) tetapi saya masih mencari bahan untuk dibaca – buku, majalah, novel, komik, akhbar, brosur atau apa sahaja.

Hal yang sama juga dalam penulisan. Saya harus menulis sesuatu hampir setiap hari. Kalau tidak menulis, saya akan menconteng atau merangka sesuatu sebagai persediaan bagi aktiviti Kavyan. Mungkin surat, mungkin atur cara, mungkin laporan aktiviti, mungkin rangka aktiviti. Apa sahaja; asalkan ada aktiviti menulis.

Semua ini tentunya dilakukan dengan rela berikutan minat dan kecintaan terhadap bahasa, sastera dan pembacaan. Kalau dipaksa, pasti tidak menjadi.

Dalam bidang penyiaran karya (sajak, cerpen, makalah), saya bukanlah seorang penulis yang konsisten. Akan tetapi, bukan juga bermusim. Kalau ada sesuatu yang mahu disiarkan, saya kirim ke media. Kalau dirasakan tidak sesuai, saya tidak kirim.

Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan editor dan wartawan pelbagai akhbar dan majalah yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan penulis serta “guru” yang menjadi pembimbing sejak dahulu sehingga kini.

Saya juga berusaha menggalakkan generasi muda (khususnya ahli Kavyan dan pelajar saya) menulis laporan aktiviti untuk siaran majalah dan akhbar. Semoga mereka mendapat pengalaman dan mampu meneruskan minat menulis laporan untuk siaran akhbar/majalah.

Bagi diri saya sendiri, tahun 2006 bermula dengan amat baik. Saya berbangga dengan jumlah karya saya yang tersiar di pelbagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Namun, biar saya tegaskan bahawa saya bukan “berlumba-lumba” menyiarkan karya untuk mengejar wang. Rakan-rakan serta editor yang mengenai saya secara peribadi pasti tahu kedudukan sebenar.

Saya yakin dan percaya bahawa semuanya berbalik pada kecintaan saya terhadap Bahasa Malaysia dan Sastera Malaysia. Hal ini ada saya jelaskan dalam sebuah makalah bertajuk “Cinta Sejati dan Abadi” (Dewan Bahasa, Februari 2006).

Hampir setahun lalu, makalah bertajuk “Cinta yang Abadi” (Dewan Bahasa, Januari 2005) turut menyentuh mengenai persoalan yang sama. Tidak hairanlah saya digelar “Pejuang Bahasa Malaysia”!

Cinta saya terhadap Bahasa Malaysia bukan hanya pada kata. Biasanya, sekiranya saya terbaca kesilapan bahasa pada tulisan, saya akan bertindak membetulkannya. Begitu juga jika ada orang yang menyalah gunakan bahasa. Saya akan bertindak membetulkan kesilapan itu dengan segera. Bagi saya, jika bukan kita yang memelihara bahasa kita, siapa lagi.

Dalam bidang penulisan cerpen, awal 2006 memang membanggakan. Tahun 2005 juga berakhir dengan baik apabila cerpen “Dengarlah, Sayang” disiarkan dalam majalah Pelita Bahasa.

Cerpen “Kain Cita Bersulam Cinta” mendapat tempat dalam majalah Tunas Cipta pada Januari 2006 manakala cerita kanak-kanak bertajuk “Gelang Kaki Kannagi” dalam majalah Dewan Pelajar.

Pada bulan Februari 2006, cerpen “Perbualan Kecil” disiarkan dalam Dewan Siswa. Kalau diperhatikan, hadir beberapa persamaan dalam beberapa buah cerpen saya sejak belakangan ini; iaitu berkaitan program “baca cerpen” dan kehadiran watak daripada golongan orang kurang upaya (OKU).

Cerpen “Cerita Moorthy” (Fokus SPM, Mac 2006) juga berkaitan dengan pembacaan cerpen. Watak daripada cerpen “Dengarlah, Sayang” turut hadir sebentar dalam cerpen ini! Pastinya cerpen ini turut berperanan mengangkat komitmen Kavyan dalam menganjurkan acara membaca cerpen sejak tahun 2003.

Cerpen “Cerita Paurnami” (Dewan Sastera, Mac 2006) turut mengangkat kisah berkaitan watak OKU. Namun, kehadiran watak-watak istimewa seperti ini dalam cerpen-cerpen saya bukan bertujuan menagih simpati. Sebaliknya, untuk membuktikan kemampuan OKU.

Makalah bertajuk “Memanfaatkan Kemudahan Siber” (Pelita Bahasa, Mac 2006) adalah berkaitan cara memanfaatkan maklumat di ruang siber serta cadangan mendaulatkan Bahasa Malaysia di ruang siber.

Makalah dalam Dewan Sastera, Mac 2006, bertajuk “Sastera Tamil Sebagai Sastera Kebangsaan?” dihasilkan untuk ruangan fokus majalah berkenaan setelah menemu bual sekitar 12 individu yang terlibat secara langsung dalam bidang sastera Bahasa Malaysia dan/atau Tamil.

Majalah Dewan Pelajar, Mac 2006 pula menyiarkan cerita rakyat bertajuk “Muthu dan Ratna”; sebuah cerita yang saya olah semula secara bebas berdasarkan kisah yang pernah saya dengar sewaktu kanak-kanak.

Wah! Memang seronok menjadi penulis – kecuali kita menulis semata-mata untuk mendapatkan wang. Atau jika kita gagal "memancing" editor dengan karya bermutu.

Pada saat ini, saya terkenang akan bapa angkat, Allahyarham Dr Othman Puteh. Beliau ada berpesan semasa MPR 1991 bahawa seseorang yang menganggap dirinya penulis perlu mampu menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah karya setahun.

Terima kasih, ayahanda!

Posted by uthayasb at 14:23 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:36 WST
Post Comment | Permalink
Monday, February 27, 2006
Baca Cerpen Dewan Pelajar 2

Siapa kata pelajar instutusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kurang meminati Bahasa Malaysia? Semuanya berbalik pada kemampuan dan pendekatan yang digunakan oleh tenaga pengajar.

Bagi saya, mengendalikan acara “Baca Cerpen” dengan melibatkan pelajar kolej swasta bukan sesuatu yang baru. Kavyan telah melakukannya sejak tahun 2003. Semuanya boleh dibaca di laman Kavyan.

Aktiviti terbaru seumpama itu berlangsung pada 27 Februari 2006 (Isnin) di Dewan Teater, Kolej SEGi, Subang Jaya. Penglibatan para pelajar kelas LAN1001-Bahasa Malaysia adalah cukup menggalakkan. Saya berpandangan bahawa mereka tidak menjayakan acara ini sekadar untuk mendapat markah. Sebaliknya, untuk membuktikan semampuan sebenar yang mereka miliki.



Syabas, tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar terbabit! Juga kepada Cik Mages yang menawarkan diri menjadi pengacara majlis pada acara itu.

Para peserta telah membaca secara berkumpulan sebanyak tujuh cerita kanak-kanak yang tersiar dalam majalah Dewan Pelajar. Tidak setakat itu, mereka juga berjaya mengolah cerpen-cerpen itu menjadi drama yang dirakam menggunakan kamera digital.

Selesai acara membaca cerpen di pentas, hadirin disajikan dengan tayangan tujuh drama berkenaan. Masing-masing menunjukkan kemampuan dan kreativiti dalam menjayakan drama berkenaan.

Tajuk cerpen dan drama terbabit adalah “Sahabat Baru”, “Hadiah Impian”, “Horangi!Horangi!”, “Gelang Kaki Kannagi”, “Putandu Valtugal”, “Musang dengan Serigala” dan “Muthu dan Ratna”.

Drama yang paling kelakar dan membuatkan hadirin ketawa terbahak-bahak adalah “Muthu dan Ratna”. Versi asalnya adalah terlalu “berani” sehingga saya terpaksa melakukan penyuntingan yang cukup banyak. Malah, drama itu terpaksa dilabelkan “Drama ini kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak”!

Turut hadir pada majlis ini ialah Encik Ariffin Yassin selaku wartawan Dewan Pelajar, wartawan dan juru kamera akhbar The Star serta Encik Saravanan, Cik Theresa, Cik Nanthini, Encik Madhavan, Sdr Guru dan Sdr Shankar mewakili Pusat Komuniti ERA. Para pelajar yang mengambil bahagian telah turut mengundang rakan-rakan dan ahli keluarga masing-masing ke acara ini.

Seperti yang saya nyatakan kepada para pelajar dan Encik Ariffin, apa yang saya pentingkan adalah pengalaman sebenar yang diperoleh oleh para pelajar. Apa yang penting bukanlah markah yang diberikan kepada mereka; sebaliknya pengalaman sebenar yang mereka timba melalui penyertaan dalam acara seumpama ini.

Suatu hari nanti, para pelajar terbabit boleh menyatakan dengan gembira bahawa mereka juga pernah menjayakan sebuah acara baca cerpen dan drama di kolej!

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:31 WST
Post Comment | Permalink
Sunday, February 26, 2006
Apresiasi Sastera Kanak-kanak

Pada 26 Februari 2006 (Ahad), Kavyan dengan kerjasama Pusat Komuniti ERA, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan Kelab Seni & Sastera Kolej SEGi Subang Jaya telah menjayakan acara Apresiasi Sastera Kanak-kanak di SJK (T) Alor Gajah, Melaka.

Setelah menjemput Vicky dari rumah Rajan di Klang, saya ke stesen Komuter Shah Alam. Namun, sebelum sampai di sana, wartawan Dewan Pelajar, Ariffin Yusof memaklumkan bahawa Komuter hanya akan sampai sehingga Subang Jaya kerana banjir di Batu Tiga.

Maka, saya menghubungi Arween untuk memaklumkan perkara itu kerana dia juga datang menaiki Komuter dari Sentul.

Akhirnya kami semua bertemu di stesen Komuter Subang Jaya. Dari sana, kami ke Kolej SEGi di mana Izzed sudah sedia menunggu. Sementara itu, Sara, Guru dan Shankar dari ERA pula sudah dalam perjalanan ke Melaka.

Kami tiba di SJK (T) Alor Gajah tepat 9:20 pagi dan disambut mesra oleh guru besar, Encik G. Kannan, Pengerusi PIBG, Encik R.S. Maniam serta beberapa guru. Sambutan ini pastinya menaikkan semangat kami kerana ada juga waktunya kami “sendirian” mengendalikan program di sekolah tanpa “kehadiran” guru besar, wakil PIBG dan guru-guru.

Program bermula tepat pukul 9:30 pagi seperti yang dijadualkan. Memang menjadi tradisi Kavyan untuk akur pada jadual; kalau tidak tahu akur pada jadual yang ditetapkan, apa gunanya menyusun jadual?

Sambutan daripada murid-murid juga cukup menggalakkan. Sejumlah 47 peserta menyertai program ini. Walaupun pada mulanya mereka agak pemalu dan takut untuk bercakap, keadaan berubah sedikit demi sedikit.

Acara turut diserikan dengan bacaan cerpen dari majalah Dewan Pelajar keluaran Disember 2005 serta nyanyian lagu “Rasa Sayang”. Apa yang menarik, beberapa guru turut mengambil bahagian. Malah, guru besar dan wakil PIBG mengikuti aktiviti Apresiasi Sastera Kanak-kanak sepenuhnya.

Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Sdr Ariffin, Sdr Sara, Encik G. Kannan, Encik R. S. Maniam, Sdr Arween, Sdr Izzed serta enam murid sekolah berkenaan.



Secara keseluruhan, acara kali ini cukup memuaskan. Apatah lagi bagi Arween dan Izzed yang menyertai Apresiasi Sastera Kanak-kanak bagi kali pertama. Pihak Kavyan dan ERA juga berharap akan dapat datang semula ke daerah Alor Gajah, Melaka untuk menjayakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya selaras dengan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.

Maklumat aktiviti Kavyan boleh dirujuk di laman Aktiviti Kavyan

Posted by uthayasb at 00:01 WST
Updated: Saturday, March 18, 2006 14:32 WST
Post Comment | Permalink

Newer | Latest | Older