Pelakon Komedi Tamil
Saya peminat filem-filem Kamalhassan; tetapi tidak semua filemnya saya minati. Misalnya, saya menonton filem
Thenali dari mula hingga akhir di pawagam. Para penonton lain tertawa kerana menikmati komedi yang kononnya terkandung dalam filem itu.
Sehingga filem itu tamat, saya masih menanti cerita bermula! Rupa-rupanya harapan yang saya letakkan adalah terlalu tinggi. Memang filem itu tidak ada apa-apa kaitan dengan cerita rakyat “Thenali Raman” serta sebuah filem lama lakonan Sivaji Ganesan dengan tajuk yang sama.
Namun, Kamalhasaan ternyata memiliki cara tersendiri untuk memenuhi permintaan khalayak. Dia akan berlakon beberapa filem komersial (baca: “bodoh”) untuk memenuhi permintaan khalayak berselera sederhana dan rendah. Untungnya cukup besar kerana memang ramai peminat filem komersial.
Kemudian, keuntungan itu digunakan bagi menghasilkan filem berkualiti yang mampu memenuhi selera khalayak bermentaliti tinggi. Filem-filem bermutu seperti iu tidak akan mendapat sambutan di pawagam. Namun, ia mendapat tempat di kalangan khalayak yang tersendiri.
Antara filem Kamalhassan yang terus saya minati adalah
Nayagan,
Guna,
Aboorva Sagotarargal,
Mahanadhi dan
Verumandhi. Terdapat banyak filem Kamalhassan yang tidak saya minati langsung kerana hanya sesuai bagi penonton yang cuma mahukan hiburan tanpa sedikit pun perlu menggunakan fikiran (baca: “otak”).
Lagi filem yang saya tidak minati adalah filem-filem lakonan Karthik dan Murali. Ada masanya pelakon ini bergandingan dengan Revathi (yang saya minati) tetapi masih saya berusaha untuk tidak menontonnya kerana muak dengan gaya (gaya?) lakonan dua pelakon itu tadi. Entahlah, tiada apa yang menarik perhatian saya dalam filem-filem lakonan mereka. Komedi yang cuba – ingat: cuba – mereka lakukan hanya sesuai nagi golongan tertentu.
Bagi Murali, filem
Potrkalam lakonannya saya tonton kerana ceritanya amat menarik. Pernah sekali saya meminjam sebuah VHS filem dari kedai kaset. Apabila pulang dan mendapati filem itu lakonan Murali, terus saya pulangkan!
Vadivelu ialah antara pelakon komedi yang amat saya benci. Tapi entah mengapa ramai suka akan dia. Lawaknya hanyalah lawak bodoh dan menghina orang. Atau lawak yang hanya berunsur lucah. Itulah yang nampaknya diterima sebagai lawak dan komedi sekarang oleh khalayak tertentu.
Manivanan juga pelakon komedi yang sentiasa berjaya membuatkan saya rasa muak dan menyampah. Maaflah, saya berterus-terang dan bukan berpura-pura menyukai pelakon yang saya benci. Dia sering hadir sebagai watak komedi yang pemabuk, tidak berguna dan sentiasa berunsur lucah.
Lakonan Vadivelu dalam
Chandramughi pula, misalnya, cukup menyakitkan hati. Dan untuk menjadikan keadaan lebih buruk, Rajinikanth juga mencuba bakat (bakat?) membuat lawak dalam filem itu. Bukankah kebanyakan lawak dalam filem itu hanyalah lawak bodoh, lawak berunsur lucah dan lebih banyak lawak bodoh?
Gandingan Sentil dan Gaundamani juga menarik pada peringkat permulaan; 1980-an. Akan tetapi, ia mula menyakitkan hati dan membuatkan saya mual. Namun, saya rasa masih ada bakat tersendiri mereka yang masih gagal dilihat pengarah filem. Saya percaya bahawa mereka boleh membawakan watak-watak yang lebih baik; bukan sekadar watak bodoh di samping Kartik, Rajini, Vijay, Saratkumar dan hero-hero lain yang turut membuktikan kebodohan mereka dengan cara berlawak.
Vijay? Hero yang boleh menyampaikan lagu tanpa perlu menggerakkan bibir! Dia juga dikatakan pelakon komedi dan hero yang hebat. Ya, tariannya cukup baik tapi lakonan? Mungkin saya sendiri yang tidak tahu menilai kehebatan Vijay berlakon serta memegang watak lucu dalam filem-filem lakonannya …
Vivek. Ya, inilah insan yang sesuai dipanggil pelakon komedi. Lawaknya adalah bersahaja dan penuh dengan unsur intelek yang merangsang minda untuk berfikir. Dia selalu mengutarakan hal-hal berkaitan kepercayaan karut dalam masyarakat; khususnya kaum India. Tidak mustahillah tidak ramai yang menyukai Vivek – berbanding Vadivelu, misalnya – kerana lawak Vivek memerlukan orang berfikir; suatu unsur yang amat sukar dicari di kalangan penonton yang hanya menonton untuk berhibir semata-mata.
Vivek tidak hanya membawa watak komedi. Dalam filem
Kutti misalnya, watak pekedai yang dibawakannya cukup menyentuh perasaan. Tapi berapa ramai yang menonton filem itu?
Nagesh seorang lagi pelakon komedi yang amat natural. Dia seorang veteran dan berbakat semula jadi. Dia boleh juga membawakan watak-watak bukan komedi. Misalnya, dalam filem
Sarvar Sundram.
Dan jangan lupa filem
Aboorva Sagotarargal di mana Nagesh tampil sebagai watak jahat yang amat meyakinkan. Nah, pelakon seperti inilah yang saya minati.
Manorama seorang lagi ikon dalam industri filem Tamil serta berjaya membuktikan hebatan dalam membawakan pelbagai watak dengan cara yang cukup berkesan. Lihatlah dalam
Thilana Moganambal dan
Chinna Thambi misalnya.
Mengapa sukar melihat kehadiran pelakon hebat seperti itu? Pelakon komedi wanita yang ada sekarang banyak pula yang sekadar berpakaian seksi dan terlibat dalam adegan berunsur lucah yang dilabelkan sebagai komedi. Ya, komedi murahan dan komedi lucah yang memaksa penonton untuk ketawa semata-mata kerana mahu menutup rasa malu semasa menonton adegan seperti itu bersama-sama keluarga.
Bagaimana pula pelakon komedi Tamil di Malaysia? Nama-nama seperti Sathia, Rama dan Accapan – bagi saya – adalah individu yang kewujudan mereka hanyalah untuk memalukan diri sendiri melalui tindakan bodoh atau membenarkan diri mereka diperbodohkan; sekaligus memperbodoh kaum India di Malaysia secara umumnya. Titik.
Namun, saya sekadar mencatatkan komen dan pandangan saya. Mustahil ada lebih daripada sepuluh orang yang sependapat dengan saya. Apapun, saya tetap dengan pendirian saya kerana saya menonton komedi untuk menikmati unsur intelek yang terkandung dalamnya; unsur yang membuatkan kita berfikir – bukan mahu menikmati komedi bodoh, komedi lucah, komedi slapstik, komedi menghina dan bermacam-macam lagi yang hanya menjatuhkan maruah.
Posted by uthayasb
at 00:01 JST
Updated: Wednesday, April 12, 2006 12:59 JST